Sunday, May 24, 2009

Mahukah Kamu Aman?

Ditulis oleh Firdaus Ismail

Jumaat yang menyeronokkan. Sebab itu aku suka ‘berjumaat’ di Bangi. Sejak dulu Surau An-Nur menjadi tempat wajib aku bersolat Jumaat. Bukan menidakkan masjid dan surau sekitar tetapi khutbah di Surau An-Nur mempunyai aura yang tersendiri kerana kebanyakan khutbahnya bukan daripada teks jabatan agama. Oleh itu khatib menyampaikan sesuatu yang mengikut perkembangan semasa atau yang relevan dengan isu setempat umat Islam.

Hari ini Ustaz Abd Rahim Rifa’e menjalankan tugas sebagai khatib. Tajuk yang beliau bawa ialah nikmat KEAMANAN. Kata beliau keamanan adalah satu nikmat yang lebih penting daripada makan dan minum. Ini dibuktikan dengan doa Nabi Ibrahim AS ketika pertama kali sampai ke Mekah yang pada masa itu tiada penduduk. Antara isi doa tersebut ialah : jadikanlah negeri ini negeri yang aman.

Nikmat keamanan adalah nikmat yang boleh menipu manusia. Tidak semestinya dalam keadaan aman manusia itu gembira. Khatib membawa contoh apa yang sedang berlaku di dalam negara ketika ini. Nampak seperti aman tenteram kerana tiada perang, boleh berurusniaga dengan selamat dan melakukan aktiviti harian tanpa ganguan tetapi samada sedar atau tidak nikmat keamanan ini sedikit demi sedikit sedang ditarik oleh Allah SWT.

Sebutkan sahaja apa jenis gejala sosial yang tidak berlaku di dalam negara saat ini. Gejala mat rempit @ samseng jalanan, jenayah rogol, ragut, pembunuhan, mencuri dan merompak antara contoh kejadian yang boleh mencabut nikmat keamanan.

Sebab itu tambah beliau untuk membawa keamanan kepada seluruh alam, Allah mengutuskan seorang manusia mulia bernama Muhammad SAW. Ini sesuai dengan firman Allah :


وَمَا أَرْسَلْنَاكَ إِلَّا رَحْمَةً لِّلْعَالَمِينَ

Dan tiadalah Kami mengutus kamu, melainkan untuk (menjadi) rahmat bagi semesta alam. Al-Anbiya ayat 107

Bukan sahaja kepada manusia, apa sahaja yang bernama makhluk menikmati rahmat dan aman kesan kewujudan Muhammad SAW. Oleh sebab itu apabila Nabi telah wafat, untuk mengekalkan nikmat kemanan ini kita perlu meneruskan usaha yang baginda pernah lakukan iaitu memperjuangkan agama hingga menjadi lorong kepada jalan kemanan.

“Aslim taslam” – Islamlah kamu maka kamu akan aman/selamat.

Dengan demikian Islam perlu dijadikan panduan dalam sistem kehidupan. Empat contoh perkara yang perlu dititikberatkan sebagai seorang individu muslim :

1. Akidah – yakin Allah melihat apa yang kita lakukan
2. Syariat – ditekankan bab undang-undang jenayah Hudud dan Qisas
3. Ibadah – penekanan dalam soal mendirikan solat
4. Akhlak – beramal dengan akhlak seorang muslim

“Dengan memahami empat perkara di atas serta memperjuangkannya Insyaallah nikmat keamanan dapat dikekalkan”, kata beliau.
Satu hadis yang dibawa oleh khatib sangat bermakna bagi aku :

Seseorang itu tidak berzina melainkan dia tidak beriman
Seseorang itu tidak akan mencuri melainkan dia tidak beriman
Seseorang itu tidak akan minum arak melainkan dia tidak beriman

Maka boleh difahami di sini bahawa bukan sahaja nilai agama (Islam) sahaja diambil kira tetapi gandingan kepada Islam iaitu iman. Ini menjawab persoalan mengapa ada orang Islam berzina, mencuri dan minum arak. Jaminan agama semata tidak mencukupi tetapi nilai iman itulah yang diambil kira. Sebab itu kepada orang Islam yang melakukan kesalahan besar seperti zina dan mencuri adalah disyariatkan untuk dikenakan hukum hudud sebagai kesalahan kerana tidak mengusahakan iman masing-masing.

Sebelum menutup khubah pertama beliau sempat menukilkan doa berikut yang lebih kurang maksudnya :

Ya Allah ya tuhan kami jadikanlah kami muslim yang redha dengan segala ketetapanMU
Ya Allah ya tuhan kami jadikanlah kami muslim yang mampu menegakkan agamaMU
Ya Allah ya tuhan kami jadikanlah kami muslim yang berserah diri kepada syariatMU

Ada suara sebak dalam nada bacaan beliau. Hati yang lembut juga pasti akan tersentuh. Mungkin itulah suara keikhlasan seorang khatib dalam meyampaikan ilmu melalui medium mimbar jumaat.

Seruan penulis sekali lagi, MOGA KAMU MENJADI INSAN YANG BERFIKIR.

Friday, May 22, 2009

Konsert Antara Dunia anjuran GAMIS

Thursday, May 21, 2009

Mahasiswa Perlu Bersama GAMIS Perjuangkan Tranformasi Sistem Pendidikan Berteraskan Islam Dalam Negara



Assalamu'alikum w.b.t.

Salam Reformasi dan Transformasi Dunia Pendidikan...

Umum telah maklum bahawa sistem pendidikan yang diwarisi di negara ini sejak dari zaman penjajahan sehingga kini sangat memerlukan kepada satu pengkajian semula yang sangat mendalam dan paling utama ia mestilah meletakkan kembali sistem pendidikan Islam kena pada kedudukan sewajarnya. Pelbagai permasalahan timbul saban waktu berikutan sistem pendidikan Islam ini telah lama di'kelas kedua'kan serta dinafikan haknya.

Sememangnya benar dan diakui kewujudan pendidikan Islam ini di dalam sistem yang sedia ada kontemporari, namun ianya tidak diberikan hak yang selayaknya sebagaimana ia sepatutnya ditempatkan. Sistem pendidikan yang ada kini tidak lebih hanya sekadar meletakkan Islam sebagai syarat dan langsung tidak mampu menimbulkan penghayatan kepada pelajar-pelajar khususnya pelajar muslim. Implikasinya kita dapat melihat sendiri betapa keruntuhan masyarakat yang berlaku dalam negara kini serta jauh terpesongnya masyarakat dari melihat agama sebagai tunjang kepada segala ilmu.

Selain itu, sekularisme dalam sistem pendidikan kini juga turut menghasilkan pembahagian kelompok manusia mengikut kelas-kelas tertentu dan amat malang lagi apabila kelompok yang bergelar professional dipisahkan terus dari aliran ilmu yang membentuk diri mereka supaya mengenal pencipta. lalu terbentuklah golongan seperti jurutera,doktor,peguam dan sebagainya yang hebat dari sudut kepakaran mereka namun jahil dengan agama sendiri. Malah, lebih merisaukan lagi apabila wujud pula golongan professional ini yang menentang Islam itu sendiri. Maka, persoalan adakah modal insan yang terbentuk kelak melalui sistem pendidikan sedia ada akan mampu melahirkan modal insan seperti yang diidamkan? Apa yang mampu diramalkan, modal insan yang lahir dari sistem yang tidak berteraskan Islam pastinya akan mempunyai kelompangan dari sudut prinsip-prinsip asas tertentu sebagai contohnya keolpangan dari sudut 'accountabilty' dan integriti seperti yang selalu disebut-sebutkan.


Al-Quran sendiri sebenarnya telah menggariskan apakah itu modal insan berkualiti sebagaimana firman Allah dalam surah Al-Asr yang bermaksud:

"Demi Masa. Sesungguhnya manusia itu sangat berada dalam keadaan yang MERUGIKAN. Melainkan mereka itu adalah dari kalangan orang BERIMAN dan melakukan AMALAN SOLEH (pekerjaan yang baik lagi bermanfaat), dan mereka itu berpesan dengan kalimah KEBENARAN dan berpesan dengan KESABARAN."

Di dalam surah yang sangat lazim dengan kita sebagai muslim, Allah telah memulakan dengan sumpahan-Nya ke atas masa. Kenapakah masa dijadikan subjek untuk Allah bersumpah dengannya? Wallahu'alam, hanya Allah yang Maha Mengetahui. Namun, sedar atau tidak akan pengajarannya, Masa adalah kayu ukur sama ada berterusan dalam kerugian ataupun keuntungan. Berapa lama sudah kita berada dalam kerugian atau dalam keuntungan hendaklah dinilai melalui kayu ukur masa. Untung rugi bukanlah kekayaan negara yang mampu dicipta dan sebagainya. tetapi masa adalah kayu ukurnya. Lebih tepat lagi, setelah lebih 50 tahun negara kita merakamkan detik kemerdekaan, adakah kita kini berada dalam satu tempoh yang boleh diklasifikasikan sebagai tempoh kejayaan yang menguntungkan dengan modal insan yang telah kita bentuk menerusi sistem pendidikan sedia ada ataupun sekadar kerugian yang dijana melaluinya.

Di dalam ayat itu secara jelas Allah menyatakan bahawa manusia sangatlah berada di dalam kerugian melainkan terpasak di dalam jiwa mereka keimanan yang teguh serta melahirkan pula golongan yang melakukan pekerjaan yang baik dan bermanfaat(amalan soleh). Persoalannya kini, bagaimanakah ingin dipasakkan keimanan di dalam jiwa jika sistem didikan yang dibentuk membuang dan meng'anaktiri'kan Islam dari diterapkan dalam jiwa para pelajar khususnya yang beragama Islam?Islam yang dibancuhkan dalam sisitem kini bukan untuk melahirkan penhayatan dan keimanan tapi sekadar ilmu pengetahuan.

Lahirnya modal insan yang merugikan negara kini adalah hasil dari Islam tidak diletakkan kembali sebagai asas didikannya. Maka, terbentuklah golongan yang digelar sebagai professional, berjawatan besar dan sebagainya namun, sangat rendah dari sudut nilai akhlak mereka seperti integriti,amanah,kejujuran dan ketelusan. Justeru,tidak hairanlah kenapa wujudnya apa yang digelar penjenayah kolar biru,kakitangan dan penjawat awam yang perasuah dan lain-lain lagi. Belum pun kita melihat dari aspek melaksanakan tuntutan amalan soleh atau pekerjaan yang baik, di mana kini ramainya golongan yang terbentuk dari sistem sedia ada ini menjadi hampas dan sampah dalam masyarakat. Sebut sahaja golongan pelacur khususnya pelacur Melayu Islam, mat rempit yang ramainya anak-anak melayu beragama Islam dan sebagainya, adakah contoh-contoh itu merupakan pekerjaan yang memberikan manfaat dan dikategorikan sebagai amalan soleh?Sudah tentu tidak.

Merujuk kepada kenyataan Ahli Majlis Tertinggi Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia(GAMIS),Saudara Mohd Hilman Nordin yang mahukan Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Timbalan Perdana Menteri merangkap pemegang portfolio Kementerian Pelajaran Malaysia supaya turut mengkaji sistem pendidikan Islam di negara ini, saya sangat bersetuju dan meyokong tindakan tersebut. Malah, saya turut sama menyeru agar seluruh mahasiswa khususnya mahasiswa di UTHM agar bersama dengan GAMIS dalam memperjuangkan isu tranformasi sistem pendidikan negara ini dengan meletakkan sistem pendidikan berteraskan Islam kembali di landasannya yang sebenar.

Pendekatan yang digunakan GAMIS dalam mengketengahkan isu ini agar sampai ke pengetahuan Tan Sri Muhyiddin Yassin iaitu melalui Kongres Bertindak Penrejuvenasian Pendidikan Islam Negara yang akan dijadualkan berlangsung pada 11 Julai 2009, di Dewan Masjid Putrajaya juga dilihat sebagai satu pendekatan yang sangat baik dan sangat menjaga etika profesionalisme dan adab keinteletualan kepimpinan mahasiswa.

Tahniah kepada GAMIS dan ayuhlah mahasiswa sekalian, bersama kita menyokongnya.

Muhd Syafiq Mat Jap
Timbalan Presiden
GAMIS Negeri Johor


link dari gamisdaily & mahasiswakini:
Kongres Rejuvenasi '09 : Para Pembentang Kertas Kerja
Kelompangan Dan Masalah Dalam SIstem Pendidikan Negara
Kongres Pendidikan Islam GAMIS Platform Terbaik Bincang Isu Disiplin Pelajar (Berita Harian, 20 Mei)
GAMIS harap Muhyiddin nilai kembali sistem Pendidikan Islam negara.

Kenyataan Akhbar GAMIS Berhubung Kongres Pendidikan Islam

Kongres pendidikan Islam platform terbaik bincang isu disiplin pelajar

GABUNGAN Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis) melihat pengenalan semula hukuman rotan terhadap pelajar melanggar masalah disiplin yang dikemukakan Timbalan Menteri Pelajaran, Mohd Puad Zarkashi, baru-baru ini adalah saranan yang baik.

Bagi saya, dalam keadaan sekarang, pendekatan mencegah dan mendidik adalah lebih baik.

Statistik kadar peningkatan jenayah remaja sangat menggerunkan. Namun, apa yang kita nampak setiap hari di akhbar, hanya sebilangan kes dilaporkan.

Masa depan negara dalam bahaya jika keadaan itu dibiarkan.

Bertambahnya filem mengghairahkan remaja untuk merempit , bergaul bebas tanpa batasan dan melakukan jenayah serta bertambahnya siri program realiti bagaikan cendawan di televisyen tetapi hakikatnya lebih berbahaya dari virus H1N1.

Gamis mencadangkan Kementerian Pelajaran meletakkan sasaran penyelesaian masalah moral dan disiplin pelajar sekolah dengan mendekati sistem pendidikan pelajar, bukan sekadar permasalahan terbitan yang picisan saja, manakala majoriti kes lain tidak diendahkan.

Kami berpendapat sistem pendidikan Islam dan moral di sekolah dan institut pengajian tinggi (IPT) kini sudah tidak 'bermaya' untuk menyekat keganasan kes jenayah juvana daripada merempit, merogol, meragut dan membunuh.

Gamis bersedia menyediakan pentas kongres bagi kerajaan mendengar pandangan pakar pendidikan Islam.

Gamis bersedia menghimpunkan mereka bagi membahas dan resolusi kertas cadangan formula pencegahan yang perlu dilakukan dalam sistem pendidikan Islam negara, satu-satunya alternatif paling realistik kerajaan menyelamatkan remaja dan belia hari ini.

Adalah diharapkan Kongres Rejuvenasi Sistem Pendidikan Islam Negara yang akan diadakan nanti mampu membantu memberikan impak yang tinggi kepada kerajaan untuk membuat bedah siasat menyeluruh terhadap sistem pendidikan Islam negara.

Sejarah membuktikan penubuhan Majlis Amanah Rakyat (Mara), Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) dan pelbagai lagi institusi terhasil daripada sebuah 'kuasa' kongres.

Kesan kongres anjuran Gamis ini pasti tidak nampak setahun dua, namun inilah penyelesaian jangka panjang terbaik menyelamatkan generasi muda dan pelajar di negara ini pada masa depan.

MUHAMAD SYAARI AB RAHMAN,
Setiausaha Agung Gamis.

link kenyataan di Berita Harian

Friday, May 15, 2009

Hukuman Merotan Hanya Merawat, Bukan Mencegah

Dicetuskan oleh Muhd Syaari Bin Ab Rahman
Setiausaha Agung GAMIS Pusat

"Merotan hanya penyelesaian kosmetik kepada masalah sosial remaja kini. Kerajaan perlu bersungguh melihat masalah remaja pada hari ini sebagai masalah "catastrophy" (bencana besar) negara 20 tahun lagi. Kerajaan mesti melihat dari pelbagai sudut yang lebih bersifat mencegah sebelum berlaku, bukan merawat masalah yang telah berlaku. Kerajaan mesti menilai semula sejauhmana sistem pendidikan negara menghala sepenuhnya kepada pasak rukun negara pertama iaitu kepercayaan kepada Tuhan.


Mengembalikan kesedaran rasa bertuhan khususnya kalangan pelajar Muslim Melayu adalah ubat mujarab seharusnya dikemukakan kerajaan, bukannya hukum merotan semata-mata. Adakah apabila berlaku kes 12 pelajar membelasah seorang pelajar tingkatan satu di kawasan Parlimen sang Menteri sendiri baru kerajaan tersentak dan bangun dari lena tidurnya? Bagaimana dengan kes buli sampai lumpuh di sebuah sekolah agama di Pahang (Berita Harian, 1 Jun 2005), sudah didiamkan semula ? Bagaimana dengan kes belasah sampai mati Allahyarham Mohd Hadrin Mohamad di Sungai Besi 3 bulan lepas ?"

Demikianlah respons awal Setiausaha Agong GAMIS ketika ditemuramah oleh krew Gamis Daily bagi memberikan pandangan mengenai cadangan Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkasyi mengenai pengenalan semula hukuman rotan kepada pelajar melanggar masalah disiplin dengan syarat mendapat persetujuan .


KRITIKAN GAMIS



"Apa yang kita nampak di dada akhbar hanya sekelumit dari realiti sebenar yang berlaku yang tidak sampai pada pengetahuan media dan polis. Apa yang berlaku hanyalah satu bongkah ais kecil di atasnya yang tidak kita nampak kerangka ais yang lebih besar dahsyat di bawah lautan masalah itu. Dr Abdullah Nasih Ulwan (1989) pernah menyebut Islam telah mengajar hukum merotan dikenakan bukan pada usia sekolah menengah yang telah terlambat, tetapi ketika di usia "kritikal" remaja mencari identiti dan kuat terpengaruh iaitu sekolah rendah lagi iaitu ketika berumur 10 tahun lagi. Bahkan Islam mengajar merotan bukan kerana masalah disiplin mereka di rumah atau di sekolah, tetapi kerana meninggalkan solat yang menjadi benteng utama remaja dari terbabit dalam kes-kes juvana dan permasalahan sosial." ujar Setiausaha Agong GAMIS yang juga terbabit dalam banyak program aktiviti menyelamatkan remaja Muslim di sekitar Lembah Klang.

"Jangan kita lupa sudah hampir 4 ribu buah sekolah telah dilancarkan Kelab Pencegahan Jenayah sejak 1994, namun kenapa peningkatan jenayah pelajar meningkat dengan sangat dahsyat. Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia, Tan Sri Lee Lam Thye telah mendedahkan, dalam tempoh dua bulan pertama tahun 2009 ini saja, seramai 295 pelajar berusia antara 13 hingga 18 tahun terbabit pelbagai kes jenayah termasuk membunuh. Pertengahan April 2009, Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan, menyebutkan statistik menunjukkan peningkatan kes jenayah bunuh, rogol, samun, merusuh, mencuri dan kesalahan lain membabitkan anak muda itu. Kajian setahun pada 2006 – 2007 dilakukan Pensyarah Fakulti Pendidikan UM Prof Madya Dr Tie Fatt Hee, membabitkan 740 responden merumuskankan jenayah di sekolah tetap berlaku sama ada di kawasan bandar mahu pun luar bandar."

Tidak perlu pelik dengan situasi ini jika kerajaan sebenarnya tidak mempunyai "political will" yang bersungguh dan ikhlas untuk menyelesaikan permasalahan remaja dan anak muda ini. Buktinya, anda sendiri boleh kira berapa program realiti TV yang mengganas di televisyen swasta pada saat ini, tumbuh bagaikan cendawan, meratah aqidah pelajar dan anak-anak remaja dengan berhala hedonisme, pergaulan bebas dan westernisasi melampau. Semuanya mendapat lesen mudah dari Kementerian Penerangan, Komunikasi, Kesenian dan Kebudayaan.", demikian tegas saudara Syaari.

CADANGAN GAMIS


GAMIS mencadangkan agar kerajaan Malaysia khususnya Kementerian Pelajaran di bawah kepimpinan baru mereka YAB Tan Sri Muhyidin Yassin dan Timbalannya, Dr. Mohd Puad Zarkasyi agar meletakkan sasaran penyelesaian masalah akhlak dan disiplin pelajar sekolah pada hari ini pada sudut yang tepat dengan permasalahan sebenar dalam diri pelajar itu sendiri (the real cause), bukannya permasalahan terbitan yang nampak zahirnya di sekolah (the presented effects). Jika kerajaan terus menerus meneropong masalah pelajar sekolah dengan teropong sekular (tidak meletakkan asas agama sebagai panduan penyelesaian), selagi itu datang apa jua idea baru atau kitaran idea lama seperti merotan ini takkan menyelesaikan masalah pelajar yang semakin kehilangan pedoman hidup.

GAMIS pula pada saat ini sedang berada pada kerangka menyediakan sebuah medan Kongres . "Seluruh jentera Kongres Pendidikan GAMIS sedang bertungkus lumus menguruskan kongres besar yang bakal menghimpunkan hampir semua pihak yang terbabit dalam institusi pendidikan formal dan informal di Malaysia. GAMIS memahami kekadang kerajaan tidak mempunyai "political will" yang tinggi untuk membuat post-mortem pendidikan negara secara holistik tanpa wujudnya kuasa sebuah kongres. Banyak sejarah Malaysia seperti penubuhan MARA, DBP dan FINAS terhasil dari sebuah kuasa Kongres.

Kini GAMIS tidak hanya mahu menjadi pengkritik yang konstruktif ideanya sahaja ataupun 'budak nakal' menjerit polisi-polisi kerajaan kian menjadi kudis masyarakat, tetapi GAMIS mahu menyediakan medan kepada kerajaan sendiri hadir memberi dan mendengar kertas kerja Kongres dan pandangan sarjana pendidikan Islam bertaraf dunia seperti Prof Kamal Hassan dan Prof Sidik Baba. GAMIS mahu bukan sekadar menyediakan medan, tetapi kita akan memberikan cadangan, aletrnatif dan blueprint reformasi pendidikan yang perlu dilakukan Tan Sri Muhyidin Yassin." ujarnya kepada krew Gamis Daily.

"Kesan kongres ini pastinya tidak nampak setahun dua, namun inilah penyelesaian jangka panjang terbaik menyelamatkan generasi muda dan pelajar sekolah di Malaysia 10 tahun dari sekarang. Tiba masanya mahasiswa mesti menguatkan solidariti, menghulurkan tangan bersama GAMIS untuk mengasak kerajaan mendatangkan kerangka pendidikan pra-sekolah, rendah, menengah, tinggi yang lebih 'manusiawi' dan bukannya mementingkan pulangan materialistik (utilitarianisme) kepada kerajaan dan negara. Tiada guna mahasiswa berhempas pulas menyelesai ataupun mengkritik satu masalah ke satu masalah sosial remaja pada hari ini, sama ada dari sekecil-kecil isu merokok sehinggalah kepada sebesar-besar isu rempit dan bunuh ragut, jika persoalan sistem pendidikan (pemangsa) itu sendiri tidak disentuh, medan memuhasabah sistem itu tidak disediakan, dan policy-makers di kerusi empuk menteri itu tidak diusung hadir mendengar pandangan semua pihak." ujarnya lagi.

Setiausaha Agong GAMIS juga dipetik menyatakan tribute beliau kepada akhbar Metro yang seakan menjadi menjadi ejen aktivisme sosial anak muda kerana mendedahkan semakin banyak gejala jenayah menakutkan yang dilakukan oleh pelajar dan remaja. Laporan dari hari ke hari seakan disembunyi oleh akhbar arus perdana manakala tidak disambut pula oleh akhbar perdana pembangkang akibat politiking yang kian menghairahkan.

Menjadi harapan GAMIS arus reformasi sistem pendidikan negara khususnya sistem pendidikan Islam ini akan menjadi sebuah gelombang kuat yang auranya sampai ke telinga semua ahli politik dan aktivis sosial, sebagaimana kuatnya gendang paluan anti PPSMI baru-baru ini.

Sumber: gamisdaily.com

Wednesday, May 13, 2009

Respon Berkaitan Isu Bir Halal



Isu berkaitan Bir Halal yang timbul mutakhir ini yang menyatakan bahawa Malaysia bakal menjadi sebagai salah sebuah kilang pengeluarnya pasti akan menimbulkan pelbagai kontroversi dan polemik baru. Sekilas pandangan ianya seolah-olah satu idea baru yang hebat dan kreatif demi menggantikan minuman keras beralkohol bernama bir seperti itu sekaligus dapat menangani masalah kebanjiran minuman keras tersebut di negara ini.

Malaysian Iranian Corporation Sdn. Bhd. (MICSB), pemegang hak eksklusif bagi pengedaran minuman bir tanpa alkohol jenama 'Istak' dari Iran, bakal membuka sebuah kilang di negara ini dengan pelaburan hampir RM50 juta. Syarikat berkenaan ialah Arpanoosh Industrial Co. yang berpangkalan di Iran.

Tiga lokasi yang dicadangkan bagi pembinaan kilang itu ialah di Pelabuhan Klang, Melaka, dan Johor Bahru.

Namun, kesan jangka panjangnya pasti bakal mengundang sesuatu yang kurang menarik untuk ditatapi umum khususnya umat Islam di negara ini dan umat Islam di seluruh dunia umumnya.



Persoalan berkaitan namanya sahaja sudah cukup mengelirukan kita semua. Sekiranya ianya merupakan produk yang dijamin halal, suci lagi bersih, tetapi kenapakah masih diistilahkan sebagai "Bir" yang jelas pada pengetahuan umum "Bir" adalah merupakan minuman keras beralkohol yang haram di sisi Islam? Adakah ketandusan idea untuk memberikan istilah dan nama lain yang lebih sesuai kepada produk halal tersebut telah menyebabkan "Bir" terus disanjung dan diabadikan kepada produk berkenaan yang halal? Pastinya lebih banyak nama yang sesuai dan berpadanan dengan statusnya yang halal yang boleh diberikan kepada produk tersebut. Malah cara ianya dibotolkan untuk dipasarkan juga menimbulkan kekeliruan kepada kita kelak. Ianya kelihatan tiada langsung perbezaan antara produk "Bir Haram" dengan "Bir Halal" terbabit.

Janganlah ketaksuban dan ketakjuban kita kepada nama-nama barat menyebabkan kita terus mengekalkan nama yang haram ke atas produk yang halal termasuklah kepada produk berupa makanan atau minuman sekali pun. Mahukah kita sekiranya ingin memakan Ayam Goreng yang halal tetapi disebutkan dengan nama Babi Goreng yang jelas haram dimakan umat Islam? Pastinya kita tidak mahukannya terjadi sebegitu.

Sesuatu yang lebih besar untuk difikirkan ialah kemampuan produk tersebut dimanipulasi oleh golongan yang tidak bertanggungjawab. Sekiranya ia diluluskan kelak untuk dijadikan minuman di tempat-tempat hiburan awam mahupun di tempat hiburan tertutup, sudah pasti pengunjung pusat hiburan dapat mengeksploitasi produk bir yang halal terbabit dengan bir yang haram. Sebagai contoh, sekiranya serbuan pihak berkuasa dilakukan ke atas para pegunjung pusat hiburan yang beragama Islam pastinya para pengunjung pusat hiburan terbabit akan mendakwa mereka meminum bir halal dan bukan bir kebiasaannya yang haram. Sedangkan bir halal tidak mungkin memberikan kesan khayal yang mengasyikkan sebagaimana bir haram yang memabukkan. Pihak berkuasa bakal diperbodohkan kelak oleh para pengunjung pusat hiburan hanya disebabkan status bir halal atau haram yang dipertikaikan.

Justeru itu, bagi mengelakkan terjadinya perkara yang bakal merumitkan lagi keadaan di masa hadapan berkaitan bir halal tersebut, maka lebih baiklah ianya dipromosikan dalam bentuk minuman yang lain selain dari bir dan bentuk botol yang lain dari mempunyai kaitannya dengan bir.

Muhd Syafiq B Mat Jap
Timbalan Presiden
GAMIS Negeri Johor

Tuesday, May 12, 2009

Kes Ragut Yang Semakin Menggila Suatu Bala' Dari Allah


Oleh : Muhd Muhaimin Bin Zakaria (Timb. Pengerusi 2 Kelab Iqra' UTHM)

“Abdullah bin Umar melaporkan, “Pada suatu hari Rasulullah s.a.w. berjumpa kami lalu berkata, ‘Wahai sekalian muhajirin! Ada lima perkara jika saudara diuji dengannya, saya bermohon perlindungan dengan Allah agar saudara tidak bertemu dengannya:


Antaranya….


“Jika pemimpin mereka tidak melaksanakan hukum yang ada di dalam Al-Quran dan mereka memilih-milih beberapa hukum yang diturunkan oleh Allah sahaja, pasti Allah menjadikan hidup mereka bermasalah.”


(Hadis direkodkan oleh Imam Ibnu Majah)


Belum sempat reda kes ragut yang menyebabkan kematian seorang ibu hamil di Ayer Hitam, Johor, tiba-tiba hari ini timbul pula kes yang sama iaitu juga kes ragut yang menyebabkan kematian seorang lagi ibu hamil yang dilaporkan dalam perjalanan ke rumah emaknya di Tumpat, Kelantan.


Kes sebelum ini yang mana arwah Jamilah, menemui ajal selepas bertarung nyawa lebih 36 jam dalam keadaan koma apabila terjatuh dari motosikal sebaik beg tangan dalam raga disentap peragut dalam kejadian kira-kira jam 7.30 malam, Ahad lalu, di Taman Air Hitam, Batu Pahat. Difahamkan, ketika kejadian, arwah yang bekerja sebagai jurujual kedai kraftangan di pekan Ayer Hitam, baru membeli makanan dan barangan keperluan harian di sebuah pasar malam untuk dibawa pulang ke rumahnya di Jalan Mekar, Taman Mekar, kira-kira 100 meter dari lokasi kejadian.


Allahyarham terjatuh dari motosikalnya dengan muka terhentak jalan. Dilaporkan bahawa seorang lelaki yang lalu di kawasan berkenaan melihat dua lelaki melarikan diri selepas meragut beg tangan mangsa. Sementara itu, adik ipar mangsa, Fauziah Ahmad, 34, berkata dia mempunyai sebab untuk membenci dan berdendam dengan peragut.


“Jika saya mempunyai kuasa undang-undang, sudah pasti saya akan menjatuhkan hukuman paling berat termasuk hukuman mati kepada peragut. Mereka bukan saja pencuri, tetapi juga pembunuh,”



Kes yang berlaku pada hari ini pula (6 Mei 2009), di Kampung Padang Raja, Jalan Melor-Ketereh di sini, mangsa iaitu arwah Saripah Mohd Noor, 33, dari Kampung Melawi, Bachok yang mengandung tiga bulan maut selepas diragut oleh seorang lelaki. Ketua Polis Daerah Kota Baharu, ACP Zahruddin Abdulah berkata kejadian berlaku selepas mangsa yang sedang menunggang motosikal telah diragut beg tangannya sehingga menyebabkan motosikalnya terbabas dan jatuh.


Mangsa kemudiannya dilanggar oleh sebuah kereta yang dari arah bertentangan dalam kejadian kira-kira pukul 10.50 pagi ini. Ketika kejadian, mangsa dilaporkan sedang menunggang motosikal bersendirian untuk ke rumah ibunya di Tumpat


Diakui, segala yang berlaku pada hari ini merupakan takdir dan perencanaan yang telah ditentukan oleh Allah s.w.t sebelum kes itu berlaku lagi. Cumanya, apa yang perlu di jadikan muhasabah di semua peringkat, sama ada diperingkat individu, keluarga, masyarakat setempat dan tidak terlepas juga pemimpin-pemimpin Negara adalah, apakah punca sebenar yang menjadikan kes-kes sebegini sukar untuk dibendung setelah begitu banyak kes sebegini berlaku sebelum daripada ini?


Daripada hadis yang saya cuba kongsikan dipermulaan tulisan ini, sebenarnya sudah cukup menggambarkan kepada kita natijah yang akan kita dapat sekiranya pemimpin-pemimpin Negara kita masih berdegil tidak mahu “memperkasakan” Hukum Allah S.w.t di bumi Malaysia ini. Sepertimana kita semua tahu, Negara kita telah merdeka lebih 50tahun, dan menjadi hak kita untuk menggantikan undang-undang tinggalan British kepada Undang-Undang Islam di Negara ini. Undang-undang Jenayah Islam sepatutnya diyakini lebih menjamin kesejahteraan kepada ummat manusia kerana ianya merupakan suatu “Hukuman Pencegahan” daripada Allah s.w.t kepada makhluk yang diciptakannya.


Dalil hukuman terhadap perompak menurut Undang-undang Jenayah Islam:

"Sesungguhnya pembalasan terhadap orang-orang yang memerangi Allah dan Rasul-Nya dan membuat kerusakan di muka bumi, hanyalah mereka dibunuh atau disalib, atau dipotong tangan dan kaki mereka dengan bertimbal balik, atau dibuang dari negeri (tempat kediamannya). Yang demikian itu (sebagai) suatu penghinaan untuk mereka didunia, dan di akhirat mereka beroleh siksaan yang besar"

(Al-Maidah:33)

Imam Syafie r.a pernah mengulas bahawa : "Sekiranya dalam satu kejadian rompakan itu didapati bahawa hanya ugutan dan perampasan harta yang berlaku,tidak melibatkan kecederaan kepada tubuh badan,maka si perompak perlu dipotong tangan kanan dan kaki kiri mereka (secara bersilang).Jika mangsanya dibunuh maka hukumannya qisas (Bunuh balas).Tetapi jika merompak dan membunuh,maka si pelaku perlu disalib dan dibunuh.Jarak masa paling lama antara si pelaku disalib dan dibunuh adalah 3 hari".begitu pandangan Imam Syafie.


Saya secara peribadinya bersetuju dan menyokong usaha murni YB. Senator Mejar Jeneral (B) Dato’ Jamil Khir bin Baharom (Menteri di Jabatan Perdana Menteri) untuk mempertingkatkan pelaksanaan Undang-Undang Jenayah Islam di Malaysia. Tetapi saya akan lebih menyokong beliau sekiranya, bukan sahaja hukuman sebat menggantikan denda dilaksanakan oleh Mahkamah Syariah, tetapi merangkumi keseluruhan daripada apa yag terkandung didalam kitab Al-Quran seperti Hudud, Qisas dan Ta’zir. Ini kerana bertepatan dengan firman Allah s.w.t didalam surah al Baqarah ayat 208 :


“Hai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam secara KESELURUHAN dan janganlah kamu turut langkah-langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagimu”


Wallahu’alam….


Dipetik dari : www.muhaimin87.blogspot.com (Timb. Pengerusi 2, Kelab Iqra UTHM)

Isu Penukaran Agama Anak

Keputusan yang di buat oleh Kabinet Malaysia pada 26 April yang memutuskan bahawa anak-anak kekal menganut agama asal ibu bapa masing-masing semasa berkahwin, walaupun ibu atau bapa mereka kemudian memeluk agama lain sememangnya mengundang pelbagai pandangan yang berbeza dari dari pelbagai pihak.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz semasa mengumumkan perkara itu berkata keputusan tersebut adalah antara penyelesaian jangka panjang yang dicapai oleh Kabinet memandangkan lebih banyak kes seperti yang melibatkan Mohd Ridzuan Abdullah dan isterinya Indra Gandhi, dijangka muncul pada masa akan datang.

Mohd Ridzuan, atau Patmanathan a/l Krishnan, 40, bekas penganut Hindu, yang kini memeluk Islam, dilaporkan telah menukar agama anaknya - Tevi Darsiny, 12, Karan Dinesh, 11, dan Prasana Diksa, 1 - kepada Islam pada 12 April serta memohon hak penjagaan terhadap mereka di Mahkamah Syariah walaupun ibu mereka masih beragama Hindu. Respon dari keputusan itu, pelbagai pihak antaranya persatuan mahasiswa, NG) Islam dan parti politik memberikan pandangan untuk di kaji semula isu ini.

"Dalam agama Islam, mana-mana bapa atau ibu yang menganuti Islam, anak mereka dengan sendirinya menganut Islam kecuali jika anak tersebut sudah berumur lebih 15 tahun dan boleh memilih agamanya sendiri," Ust Harussani Zakaria, Mufti Perak.

" Seharusnya kabinet tidak boleh mengeluarkan keputusan mutlak terhadap isu tersebut tanpa merujuk badan-badan perundangan Islam yang lebih arif sama ada di peringkat mahkamah syariah mahupun jabatan mufti. Secara peribadi saya beranggapan tindakan kabinet adalah ibarat 'Islamphobia' iaitu prasangka dan diskriminasi pada masyarakat Islam di negara ini", Hadi Abd Rahman. Presiden Kelab Iqra' UTHM.


"Keputusan itu menafikan hak pihak yang memeluk Islam," Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia, Mohamad Isa Abdul Latif

"kita tidak bersetuju dengan tindakan terburu-buru kabinet yang mengeluarkan keputusan demikian sedangkan kes ini masih dalam perbicaraan di Mahkamah Tinggi Syariah Perak. Kabinet tidak sepatutnya campur tangan dalam urusan ini. Tindakan mereka(kabinet) hanya akan menampakkan ketidakmatangan mereka dalam menguruskan hal seumpama ini" Shazni Munir,YDP PMIUM

“Memandangkan isu ini amat berkait rapat dengan persoalan perundangan Islam, seharusnya pihak kabinet membuat penelitian dengan lebih mendalam dengan mengambil kira pandangan mereka yang pakar terlebih dahulu sebelum memutuskan apa-apa keputusan.Justeru, PKPIM berpandangan tindakan kabinet yang membuat ketetapan tersebut tanpa sebarang rujukan kepada tokoh ulamak adalah sesuatu yang amat mengecewakan,” tegas Mohd Faisal Abd Aziz, Naib Presiden PKPIM.

“Kabinet seperti hendak menjadi hakim dan menjadi mufti.Mereka tidak pernah berbincang dengan majlis fatwa.Seharusnya mereka berbincang dengan majlis fatwa untuk mencari jalan terbaik terhadap isu ini ." Dato Mahfudz Omar, Ahli Parlimen Pokok Sena.

”Keputusan Kabinet ini juga bercanggah dengan peruntukan Perkara 12(4) dalam Perlembagaan Persekutuan dan juga ultra vires atau diluar bidang kuasa Kabinet kerana ia bertentangan dengan keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes R. Subashini yang memutuskan adalah memadai salah seorang ibu atau bapa membuat keputusan untuk anaknya yang di bawah umur memeluk Islam,” Timbalan Presiden ISIUKM, Hisyamuddin Che Ali.

sumber dari pro-mahasiswa UTHM