Friday, May 15, 2009

Hukuman Merotan Hanya Merawat, Bukan Mencegah

Posted on 11:32 AM by GAMIS JOHOR

Dicetuskan oleh Muhd Syaari Bin Ab Rahman
Setiausaha Agung GAMIS Pusat

"Merotan hanya penyelesaian kosmetik kepada masalah sosial remaja kini. Kerajaan perlu bersungguh melihat masalah remaja pada hari ini sebagai masalah "catastrophy" (bencana besar) negara 20 tahun lagi. Kerajaan mesti melihat dari pelbagai sudut yang lebih bersifat mencegah sebelum berlaku, bukan merawat masalah yang telah berlaku. Kerajaan mesti menilai semula sejauhmana sistem pendidikan negara menghala sepenuhnya kepada pasak rukun negara pertama iaitu kepercayaan kepada Tuhan.


Mengembalikan kesedaran rasa bertuhan khususnya kalangan pelajar Muslim Melayu adalah ubat mujarab seharusnya dikemukakan kerajaan, bukannya hukum merotan semata-mata. Adakah apabila berlaku kes 12 pelajar membelasah seorang pelajar tingkatan satu di kawasan Parlimen sang Menteri sendiri baru kerajaan tersentak dan bangun dari lena tidurnya? Bagaimana dengan kes buli sampai lumpuh di sebuah sekolah agama di Pahang (Berita Harian, 1 Jun 2005), sudah didiamkan semula ? Bagaimana dengan kes belasah sampai mati Allahyarham Mohd Hadrin Mohamad di Sungai Besi 3 bulan lepas ?"

Demikianlah respons awal Setiausaha Agong GAMIS ketika ditemuramah oleh krew Gamis Daily bagi memberikan pandangan mengenai cadangan Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkasyi mengenai pengenalan semula hukuman rotan kepada pelajar melanggar masalah disiplin dengan syarat mendapat persetujuan .


KRITIKAN GAMIS



"Apa yang kita nampak di dada akhbar hanya sekelumit dari realiti sebenar yang berlaku yang tidak sampai pada pengetahuan media dan polis. Apa yang berlaku hanyalah satu bongkah ais kecil di atasnya yang tidak kita nampak kerangka ais yang lebih besar dahsyat di bawah lautan masalah itu. Dr Abdullah Nasih Ulwan (1989) pernah menyebut Islam telah mengajar hukum merotan dikenakan bukan pada usia sekolah menengah yang telah terlambat, tetapi ketika di usia "kritikal" remaja mencari identiti dan kuat terpengaruh iaitu sekolah rendah lagi iaitu ketika berumur 10 tahun lagi. Bahkan Islam mengajar merotan bukan kerana masalah disiplin mereka di rumah atau di sekolah, tetapi kerana meninggalkan solat yang menjadi benteng utama remaja dari terbabit dalam kes-kes juvana dan permasalahan sosial." ujar Setiausaha Agong GAMIS yang juga terbabit dalam banyak program aktiviti menyelamatkan remaja Muslim di sekitar Lembah Klang.

"Jangan kita lupa sudah hampir 4 ribu buah sekolah telah dilancarkan Kelab Pencegahan Jenayah sejak 1994, namun kenapa peningkatan jenayah pelajar meningkat dengan sangat dahsyat. Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia, Tan Sri Lee Lam Thye telah mendedahkan, dalam tempoh dua bulan pertama tahun 2009 ini saja, seramai 295 pelajar berusia antara 13 hingga 18 tahun terbabit pelbagai kes jenayah termasuk membunuh. Pertengahan April 2009, Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan, menyebutkan statistik menunjukkan peningkatan kes jenayah bunuh, rogol, samun, merusuh, mencuri dan kesalahan lain membabitkan anak muda itu. Kajian setahun pada 2006 – 2007 dilakukan Pensyarah Fakulti Pendidikan UM Prof Madya Dr Tie Fatt Hee, membabitkan 740 responden merumuskankan jenayah di sekolah tetap berlaku sama ada di kawasan bandar mahu pun luar bandar."

Tidak perlu pelik dengan situasi ini jika kerajaan sebenarnya tidak mempunyai "political will" yang bersungguh dan ikhlas untuk menyelesaikan permasalahan remaja dan anak muda ini. Buktinya, anda sendiri boleh kira berapa program realiti TV yang mengganas di televisyen swasta pada saat ini, tumbuh bagaikan cendawan, meratah aqidah pelajar dan anak-anak remaja dengan berhala hedonisme, pergaulan bebas dan westernisasi melampau. Semuanya mendapat lesen mudah dari Kementerian Penerangan, Komunikasi, Kesenian dan Kebudayaan.", demikian tegas saudara Syaari.

CADANGAN GAMIS


GAMIS mencadangkan agar kerajaan Malaysia khususnya Kementerian Pelajaran di bawah kepimpinan baru mereka YAB Tan Sri Muhyidin Yassin dan Timbalannya, Dr. Mohd Puad Zarkasyi agar meletakkan sasaran penyelesaian masalah akhlak dan disiplin pelajar sekolah pada hari ini pada sudut yang tepat dengan permasalahan sebenar dalam diri pelajar itu sendiri (the real cause), bukannya permasalahan terbitan yang nampak zahirnya di sekolah (the presented effects). Jika kerajaan terus menerus meneropong masalah pelajar sekolah dengan teropong sekular (tidak meletakkan asas agama sebagai panduan penyelesaian), selagi itu datang apa jua idea baru atau kitaran idea lama seperti merotan ini takkan menyelesaikan masalah pelajar yang semakin kehilangan pedoman hidup.

GAMIS pula pada saat ini sedang berada pada kerangka menyediakan sebuah medan Kongres . "Seluruh jentera Kongres Pendidikan GAMIS sedang bertungkus lumus menguruskan kongres besar yang bakal menghimpunkan hampir semua pihak yang terbabit dalam institusi pendidikan formal dan informal di Malaysia. GAMIS memahami kekadang kerajaan tidak mempunyai "political will" yang tinggi untuk membuat post-mortem pendidikan negara secara holistik tanpa wujudnya kuasa sebuah kongres. Banyak sejarah Malaysia seperti penubuhan MARA, DBP dan FINAS terhasil dari sebuah kuasa Kongres.

Kini GAMIS tidak hanya mahu menjadi pengkritik yang konstruktif ideanya sahaja ataupun 'budak nakal' menjerit polisi-polisi kerajaan kian menjadi kudis masyarakat, tetapi GAMIS mahu menyediakan medan kepada kerajaan sendiri hadir memberi dan mendengar kertas kerja Kongres dan pandangan sarjana pendidikan Islam bertaraf dunia seperti Prof Kamal Hassan dan Prof Sidik Baba. GAMIS mahu bukan sekadar menyediakan medan, tetapi kita akan memberikan cadangan, aletrnatif dan blueprint reformasi pendidikan yang perlu dilakukan Tan Sri Muhyidin Yassin." ujarnya kepada krew Gamis Daily.

"Kesan kongres ini pastinya tidak nampak setahun dua, namun inilah penyelesaian jangka panjang terbaik menyelamatkan generasi muda dan pelajar sekolah di Malaysia 10 tahun dari sekarang. Tiba masanya mahasiswa mesti menguatkan solidariti, menghulurkan tangan bersama GAMIS untuk mengasak kerajaan mendatangkan kerangka pendidikan pra-sekolah, rendah, menengah, tinggi yang lebih 'manusiawi' dan bukannya mementingkan pulangan materialistik (utilitarianisme) kepada kerajaan dan negara. Tiada guna mahasiswa berhempas pulas menyelesai ataupun mengkritik satu masalah ke satu masalah sosial remaja pada hari ini, sama ada dari sekecil-kecil isu merokok sehinggalah kepada sebesar-besar isu rempit dan bunuh ragut, jika persoalan sistem pendidikan (pemangsa) itu sendiri tidak disentuh, medan memuhasabah sistem itu tidak disediakan, dan policy-makers di kerusi empuk menteri itu tidak diusung hadir mendengar pandangan semua pihak." ujarnya lagi.

Setiausaha Agong GAMIS juga dipetik menyatakan tribute beliau kepada akhbar Metro yang seakan menjadi menjadi ejen aktivisme sosial anak muda kerana mendedahkan semakin banyak gejala jenayah menakutkan yang dilakukan oleh pelajar dan remaja. Laporan dari hari ke hari seakan disembunyi oleh akhbar arus perdana manakala tidak disambut pula oleh akhbar perdana pembangkang akibat politiking yang kian menghairahkan.

Menjadi harapan GAMIS arus reformasi sistem pendidikan negara khususnya sistem pendidikan Islam ini akan menjadi sebuah gelombang kuat yang auranya sampai ke telinga semua ahli politik dan aktivis sosial, sebagaimana kuatnya gendang paluan anti PPSMI baru-baru ini.

Sumber: gamisdaily.com

No Response to "Hukuman Merotan Hanya Merawat, Bukan Mencegah"