Thursday, May 21, 2009

Mahasiswa Perlu Bersama GAMIS Perjuangkan Tranformasi Sistem Pendidikan Berteraskan Islam Dalam Negara

Posted on 3:50 AM by GAMIS JOHOR



Assalamu'alikum w.b.t.

Salam Reformasi dan Transformasi Dunia Pendidikan...

Umum telah maklum bahawa sistem pendidikan yang diwarisi di negara ini sejak dari zaman penjajahan sehingga kini sangat memerlukan kepada satu pengkajian semula yang sangat mendalam dan paling utama ia mestilah meletakkan kembali sistem pendidikan Islam kena pada kedudukan sewajarnya. Pelbagai permasalahan timbul saban waktu berikutan sistem pendidikan Islam ini telah lama di'kelas kedua'kan serta dinafikan haknya.

Sememangnya benar dan diakui kewujudan pendidikan Islam ini di dalam sistem yang sedia ada kontemporari, namun ianya tidak diberikan hak yang selayaknya sebagaimana ia sepatutnya ditempatkan. Sistem pendidikan yang ada kini tidak lebih hanya sekadar meletakkan Islam sebagai syarat dan langsung tidak mampu menimbulkan penghayatan kepada pelajar-pelajar khususnya pelajar muslim. Implikasinya kita dapat melihat sendiri betapa keruntuhan masyarakat yang berlaku dalam negara kini serta jauh terpesongnya masyarakat dari melihat agama sebagai tunjang kepada segala ilmu.

Selain itu, sekularisme dalam sistem pendidikan kini juga turut menghasilkan pembahagian kelompok manusia mengikut kelas-kelas tertentu dan amat malang lagi apabila kelompok yang bergelar professional dipisahkan terus dari aliran ilmu yang membentuk diri mereka supaya mengenal pencipta. lalu terbentuklah golongan seperti jurutera,doktor,peguam dan sebagainya yang hebat dari sudut kepakaran mereka namun jahil dengan agama sendiri. Malah, lebih merisaukan lagi apabila wujud pula golongan professional ini yang menentang Islam itu sendiri. Maka, persoalan adakah modal insan yang terbentuk kelak melalui sistem pendidikan sedia ada akan mampu melahirkan modal insan seperti yang diidamkan? Apa yang mampu diramalkan, modal insan yang lahir dari sistem yang tidak berteraskan Islam pastinya akan mempunyai kelompangan dari sudut prinsip-prinsip asas tertentu sebagai contohnya keolpangan dari sudut 'accountabilty' dan integriti seperti yang selalu disebut-sebutkan.


Al-Quran sendiri sebenarnya telah menggariskan apakah itu modal insan berkualiti sebagaimana firman Allah dalam surah Al-Asr yang bermaksud:

"Demi Masa. Sesungguhnya manusia itu sangat berada dalam keadaan yang MERUGIKAN. Melainkan mereka itu adalah dari kalangan orang BERIMAN dan melakukan AMALAN SOLEH (pekerjaan yang baik lagi bermanfaat), dan mereka itu berpesan dengan kalimah KEBENARAN dan berpesan dengan KESABARAN."

Di dalam surah yang sangat lazim dengan kita sebagai muslim, Allah telah memulakan dengan sumpahan-Nya ke atas masa. Kenapakah masa dijadikan subjek untuk Allah bersumpah dengannya? Wallahu'alam, hanya Allah yang Maha Mengetahui. Namun, sedar atau tidak akan pengajarannya, Masa adalah kayu ukur sama ada berterusan dalam kerugian ataupun keuntungan. Berapa lama sudah kita berada dalam kerugian atau dalam keuntungan hendaklah dinilai melalui kayu ukur masa. Untung rugi bukanlah kekayaan negara yang mampu dicipta dan sebagainya. tetapi masa adalah kayu ukurnya. Lebih tepat lagi, setelah lebih 50 tahun negara kita merakamkan detik kemerdekaan, adakah kita kini berada dalam satu tempoh yang boleh diklasifikasikan sebagai tempoh kejayaan yang menguntungkan dengan modal insan yang telah kita bentuk menerusi sistem pendidikan sedia ada ataupun sekadar kerugian yang dijana melaluinya.

Di dalam ayat itu secara jelas Allah menyatakan bahawa manusia sangatlah berada di dalam kerugian melainkan terpasak di dalam jiwa mereka keimanan yang teguh serta melahirkan pula golongan yang melakukan pekerjaan yang baik dan bermanfaat(amalan soleh). Persoalannya kini, bagaimanakah ingin dipasakkan keimanan di dalam jiwa jika sistem didikan yang dibentuk membuang dan meng'anaktiri'kan Islam dari diterapkan dalam jiwa para pelajar khususnya yang beragama Islam?Islam yang dibancuhkan dalam sisitem kini bukan untuk melahirkan penhayatan dan keimanan tapi sekadar ilmu pengetahuan.

Lahirnya modal insan yang merugikan negara kini adalah hasil dari Islam tidak diletakkan kembali sebagai asas didikannya. Maka, terbentuklah golongan yang digelar sebagai professional, berjawatan besar dan sebagainya namun, sangat rendah dari sudut nilai akhlak mereka seperti integriti,amanah,kejujuran dan ketelusan. Justeru,tidak hairanlah kenapa wujudnya apa yang digelar penjenayah kolar biru,kakitangan dan penjawat awam yang perasuah dan lain-lain lagi. Belum pun kita melihat dari aspek melaksanakan tuntutan amalan soleh atau pekerjaan yang baik, di mana kini ramainya golongan yang terbentuk dari sistem sedia ada ini menjadi hampas dan sampah dalam masyarakat. Sebut sahaja golongan pelacur khususnya pelacur Melayu Islam, mat rempit yang ramainya anak-anak melayu beragama Islam dan sebagainya, adakah contoh-contoh itu merupakan pekerjaan yang memberikan manfaat dan dikategorikan sebagai amalan soleh?Sudah tentu tidak.

Merujuk kepada kenyataan Ahli Majlis Tertinggi Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia(GAMIS),Saudara Mohd Hilman Nordin yang mahukan Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Timbalan Perdana Menteri merangkap pemegang portfolio Kementerian Pelajaran Malaysia supaya turut mengkaji sistem pendidikan Islam di negara ini, saya sangat bersetuju dan meyokong tindakan tersebut. Malah, saya turut sama menyeru agar seluruh mahasiswa khususnya mahasiswa di UTHM agar bersama dengan GAMIS dalam memperjuangkan isu tranformasi sistem pendidikan negara ini dengan meletakkan sistem pendidikan berteraskan Islam kembali di landasannya yang sebenar.

Pendekatan yang digunakan GAMIS dalam mengketengahkan isu ini agar sampai ke pengetahuan Tan Sri Muhyiddin Yassin iaitu melalui Kongres Bertindak Penrejuvenasian Pendidikan Islam Negara yang akan dijadualkan berlangsung pada 11 Julai 2009, di Dewan Masjid Putrajaya juga dilihat sebagai satu pendekatan yang sangat baik dan sangat menjaga etika profesionalisme dan adab keinteletualan kepimpinan mahasiswa.

Tahniah kepada GAMIS dan ayuhlah mahasiswa sekalian, bersama kita menyokongnya.

Muhd Syafiq Mat Jap
Timbalan Presiden
GAMIS Negeri Johor


link dari gamisdaily & mahasiswakini:
Kongres Rejuvenasi '09 : Para Pembentang Kertas Kerja
Kelompangan Dan Masalah Dalam SIstem Pendidikan Negara
Kongres Pendidikan Islam GAMIS Platform Terbaik Bincang Isu Disiplin Pelajar (Berita Harian, 20 Mei)
GAMIS harap Muhyiddin nilai kembali sistem Pendidikan Islam negara.

No Response to "Mahasiswa Perlu Bersama GAMIS Perjuangkan Tranformasi Sistem Pendidikan Berteraskan Islam Dalam Negara"