Sunday, May 24, 2009

Mahukah Kamu Aman?

Posted on 7:00 PM by GAMIS JOHOR

Ditulis oleh Firdaus Ismail

Jumaat yang menyeronokkan. Sebab itu aku suka ‘berjumaat’ di Bangi. Sejak dulu Surau An-Nur menjadi tempat wajib aku bersolat Jumaat. Bukan menidakkan masjid dan surau sekitar tetapi khutbah di Surau An-Nur mempunyai aura yang tersendiri kerana kebanyakan khutbahnya bukan daripada teks jabatan agama. Oleh itu khatib menyampaikan sesuatu yang mengikut perkembangan semasa atau yang relevan dengan isu setempat umat Islam.

Hari ini Ustaz Abd Rahim Rifa’e menjalankan tugas sebagai khatib. Tajuk yang beliau bawa ialah nikmat KEAMANAN. Kata beliau keamanan adalah satu nikmat yang lebih penting daripada makan dan minum. Ini dibuktikan dengan doa Nabi Ibrahim AS ketika pertama kali sampai ke Mekah yang pada masa itu tiada penduduk. Antara isi doa tersebut ialah : jadikanlah negeri ini negeri yang aman.

Nikmat keamanan adalah nikmat yang boleh menipu manusia. Tidak semestinya dalam keadaan aman manusia itu gembira. Khatib membawa contoh apa yang sedang berlaku di dalam negara ketika ini. Nampak seperti aman tenteram kerana tiada perang, boleh berurusniaga dengan selamat dan melakukan aktiviti harian tanpa ganguan tetapi samada sedar atau tidak nikmat keamanan ini sedikit demi sedikit sedang ditarik oleh Allah SWT.

Sebutkan sahaja apa jenis gejala sosial yang tidak berlaku di dalam negara saat ini. Gejala mat rempit @ samseng jalanan, jenayah rogol, ragut, pembunuhan, mencuri dan merompak antara contoh kejadian yang boleh mencabut nikmat keamanan.

Sebab itu tambah beliau untuk membawa keamanan kepada seluruh alam, Allah mengutuskan seorang manusia mulia bernama Muhammad SAW. Ini sesuai dengan firman Allah :


وَمَا أَرْسَلْنَاكَ إِلَّا رَحْمَةً لِّلْعَالَمِينَ

Dan tiadalah Kami mengutus kamu, melainkan untuk (menjadi) rahmat bagi semesta alam. Al-Anbiya ayat 107

Bukan sahaja kepada manusia, apa sahaja yang bernama makhluk menikmati rahmat dan aman kesan kewujudan Muhammad SAW. Oleh sebab itu apabila Nabi telah wafat, untuk mengekalkan nikmat kemanan ini kita perlu meneruskan usaha yang baginda pernah lakukan iaitu memperjuangkan agama hingga menjadi lorong kepada jalan kemanan.

“Aslim taslam” – Islamlah kamu maka kamu akan aman/selamat.

Dengan demikian Islam perlu dijadikan panduan dalam sistem kehidupan. Empat contoh perkara yang perlu dititikberatkan sebagai seorang individu muslim :

1. Akidah – yakin Allah melihat apa yang kita lakukan
2. Syariat – ditekankan bab undang-undang jenayah Hudud dan Qisas
3. Ibadah – penekanan dalam soal mendirikan solat
4. Akhlak – beramal dengan akhlak seorang muslim

“Dengan memahami empat perkara di atas serta memperjuangkannya Insyaallah nikmat keamanan dapat dikekalkan”, kata beliau.
Satu hadis yang dibawa oleh khatib sangat bermakna bagi aku :

Seseorang itu tidak berzina melainkan dia tidak beriman
Seseorang itu tidak akan mencuri melainkan dia tidak beriman
Seseorang itu tidak akan minum arak melainkan dia tidak beriman

Maka boleh difahami di sini bahawa bukan sahaja nilai agama (Islam) sahaja diambil kira tetapi gandingan kepada Islam iaitu iman. Ini menjawab persoalan mengapa ada orang Islam berzina, mencuri dan minum arak. Jaminan agama semata tidak mencukupi tetapi nilai iman itulah yang diambil kira. Sebab itu kepada orang Islam yang melakukan kesalahan besar seperti zina dan mencuri adalah disyariatkan untuk dikenakan hukum hudud sebagai kesalahan kerana tidak mengusahakan iman masing-masing.

Sebelum menutup khubah pertama beliau sempat menukilkan doa berikut yang lebih kurang maksudnya :

Ya Allah ya tuhan kami jadikanlah kami muslim yang redha dengan segala ketetapanMU
Ya Allah ya tuhan kami jadikanlah kami muslim yang mampu menegakkan agamaMU
Ya Allah ya tuhan kami jadikanlah kami muslim yang berserah diri kepada syariatMU

Ada suara sebak dalam nada bacaan beliau. Hati yang lembut juga pasti akan tersentuh. Mungkin itulah suara keikhlasan seorang khatib dalam meyampaikan ilmu melalui medium mimbar jumaat.

Seruan penulis sekali lagi, MOGA KAMU MENJADI INSAN YANG BERFIKIR.

No Response to "Mahukah Kamu Aman?"