Wednesday, May 13, 2009

Respon Berkaitan Isu Bir Halal

Posted on 11:38 PM by GAMIS JOHOR



Isu berkaitan Bir Halal yang timbul mutakhir ini yang menyatakan bahawa Malaysia bakal menjadi sebagai salah sebuah kilang pengeluarnya pasti akan menimbulkan pelbagai kontroversi dan polemik baru. Sekilas pandangan ianya seolah-olah satu idea baru yang hebat dan kreatif demi menggantikan minuman keras beralkohol bernama bir seperti itu sekaligus dapat menangani masalah kebanjiran minuman keras tersebut di negara ini.

Malaysian Iranian Corporation Sdn. Bhd. (MICSB), pemegang hak eksklusif bagi pengedaran minuman bir tanpa alkohol jenama 'Istak' dari Iran, bakal membuka sebuah kilang di negara ini dengan pelaburan hampir RM50 juta. Syarikat berkenaan ialah Arpanoosh Industrial Co. yang berpangkalan di Iran.

Tiga lokasi yang dicadangkan bagi pembinaan kilang itu ialah di Pelabuhan Klang, Melaka, dan Johor Bahru.

Namun, kesan jangka panjangnya pasti bakal mengundang sesuatu yang kurang menarik untuk ditatapi umum khususnya umat Islam di negara ini dan umat Islam di seluruh dunia umumnya.



Persoalan berkaitan namanya sahaja sudah cukup mengelirukan kita semua. Sekiranya ianya merupakan produk yang dijamin halal, suci lagi bersih, tetapi kenapakah masih diistilahkan sebagai "Bir" yang jelas pada pengetahuan umum "Bir" adalah merupakan minuman keras beralkohol yang haram di sisi Islam? Adakah ketandusan idea untuk memberikan istilah dan nama lain yang lebih sesuai kepada produk halal tersebut telah menyebabkan "Bir" terus disanjung dan diabadikan kepada produk berkenaan yang halal? Pastinya lebih banyak nama yang sesuai dan berpadanan dengan statusnya yang halal yang boleh diberikan kepada produk tersebut. Malah cara ianya dibotolkan untuk dipasarkan juga menimbulkan kekeliruan kepada kita kelak. Ianya kelihatan tiada langsung perbezaan antara produk "Bir Haram" dengan "Bir Halal" terbabit.

Janganlah ketaksuban dan ketakjuban kita kepada nama-nama barat menyebabkan kita terus mengekalkan nama yang haram ke atas produk yang halal termasuklah kepada produk berupa makanan atau minuman sekali pun. Mahukah kita sekiranya ingin memakan Ayam Goreng yang halal tetapi disebutkan dengan nama Babi Goreng yang jelas haram dimakan umat Islam? Pastinya kita tidak mahukannya terjadi sebegitu.

Sesuatu yang lebih besar untuk difikirkan ialah kemampuan produk tersebut dimanipulasi oleh golongan yang tidak bertanggungjawab. Sekiranya ia diluluskan kelak untuk dijadikan minuman di tempat-tempat hiburan awam mahupun di tempat hiburan tertutup, sudah pasti pengunjung pusat hiburan dapat mengeksploitasi produk bir yang halal terbabit dengan bir yang haram. Sebagai contoh, sekiranya serbuan pihak berkuasa dilakukan ke atas para pegunjung pusat hiburan yang beragama Islam pastinya para pengunjung pusat hiburan terbabit akan mendakwa mereka meminum bir halal dan bukan bir kebiasaannya yang haram. Sedangkan bir halal tidak mungkin memberikan kesan khayal yang mengasyikkan sebagaimana bir haram yang memabukkan. Pihak berkuasa bakal diperbodohkan kelak oleh para pengunjung pusat hiburan hanya disebabkan status bir halal atau haram yang dipertikaikan.

Justeru itu, bagi mengelakkan terjadinya perkara yang bakal merumitkan lagi keadaan di masa hadapan berkaitan bir halal tersebut, maka lebih baiklah ianya dipromosikan dalam bentuk minuman yang lain selain dari bir dan bentuk botol yang lain dari mempunyai kaitannya dengan bir.

Muhd Syafiq B Mat Jap
Timbalan Presiden
GAMIS Negeri Johor

2 Response to "Respon Berkaitan Isu Bir Halal"

.
gravatar
Ihya Says....

Salam ziarah..

Pada pendapat peribadi saya..Bir asalnya halal. Ianya menjadi haram kerana telah di alkoholkan. Bir berasal dari tumbuhan berpokok kalau saya tak silap. Propaganda barat lah yang menjadikan bir ini haram kerana di alkoholkan.

Saya setuju dengan tuan,pilihlah nama yang elok untuk minuman ini. Dari bir,tukarlah kepada yang elok sikit. Tapi..perkataan bir ini sudah menjadi milik sejagat peminumnya. Maka peminumnya boleh mengistilahkan bir yang halal ini akan menjadi haram dengan menyebut,"dari aku minum bir halal ni,lebih baik aku mabuk bebetul".

Syarikat ini betul..cuba mencari ruang dakwah dengan mengedarkan bir 'ishtak'ini. Secara tak langsung juga mengembangkan ekonomi muslim. Juga orang bukan islam ada pilihan dari alkohol bertukar kepada bir yang non alkhohol..

Apapun ..terpulanglah kepada selera anda masing masing.