Monday, March 2, 2009

Isu Bahasa: Apa pendirian Mahasiswa?

Posted on 11:45 PM by GAMIS JOHOR

Sejarah lampau telah membuktikan bahawa semangat bahasa Kebangsaan telah menyebabkan orang Melayu suatu ketika dahulu telah bangkit menerjah penjajah. Pada ketika itu, Dato Onn Jaafar telah berjaya memobilisasikan orang Melayu untuk bangun menentang Malayan Union. Akan tetapi sejarah kini telah menunjukkan sebaliknya. Menteri Pelajaran Malaysia, Dato' Seri Hishamudin Tun Hussin sendiri telah menafikan hak bahasa kebangsaan di tanah air tercinta.

Perkara 152 yang menjamin kedudukan bahasa Melayu telah dicabuli. Akta Pelajaran, Akta Bahasa Kebangsaan dan Dasar Kebudayaan Kebangsaan pula di kotori.

Jika kerajaan Republik Chezh menghargai bahasanya dengan memberikan yuran pengajian percuma kepada mana-mana pelajar asing yang mengikuti pengajian perubatan dalam bahasa mereka.Bagaimana dengan kita? Ia bukan kebajikan untuk pelajar asing, tetapi ia adalah inisiatif bagi mengangkat darjat bahasa mereka sebagai bahasa ilmu.

Tidak ada teori mengatakan penggunaan bahasa Inggeris dalam pembelajaran mampu melahirkan individu yang cemerlang. Malah dunia membuktikan negara-negara yang maju dan membangun lahir daripada negara yang memartabatkan bahasa ibunda mereka dalam kehidupan seharian.Sebagai contoh Jepun,German,China dan Iran serta banyak lagi yang kini gah dengan kejayaan yang mereka kecapi.

Negara kita sendiri pernah membuktikannya. Apabila UKM di bina dengan menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar, kita mendapati ramai doktor, teknorat dan jurutera yang berjaya mendapatkan ijazah tanpa sebarang sebarang masalah.

Malah, tahap penguasaan bahasa Inggeris mereka juga baik. Hujah ini di buktikan dengan kejayaan angkasawan negara Dr Syekh Muzaffar Syah yang dilahirkan melalui pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Melayu. Tambahan pula, beliau juga tiada masalah untuk berbahasa Inggeris.

Selain itu,Dr Shaharir Md Zain pula telah membuat kajian dengan menggunakan bahasa melayu dan berjaya di terima di peringkat dunia. Beliau juga mahir menulis dan bertutur dalam bahasa Inggeris. Tetapi, beliau juga antara yang terkehadapan dalam hal membantah dasar PPSMI ini. Beliau juga mengatakan terdapat pelajar Barat yang telah pun mempelajari bahasa Melayu semata-mata mahu memahami tesis-tesis pelajar UKM yang ditulis di dalam bahasa Melayu.

Sebenarnya ramai lagi cendekiawan tanah air yang telah bersatu untuk menentang isu ini. Termasuklah sasterawan negara A.Samad Said dan Prof. Dr Awang Sariyan, salah seorang tokoh bahasa yang lantang serta tidak putus-putus menyuarakan bantahan mengenai pelaksanaan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris(PPSMI) .Beliau juga merupakan Penyandang Kursi Pengajian Melayu Malaysia China, Universiti Pengajian Asing Beijing dan merupakan bekas Presiden Persatuan Linguistik Malaysia(PLM).

Selaku mahasiswa, kita juga tidak harus ketinggalan dalam menyatakan pendirian kita untuk membantah penggunaan bahas Inggeris dalam pembelajaran matematik dan sains ini. Penyakit bahasa yang kian menular ini harus di segerakan untuk mengubatnya. Negara akan mengalami kehancuran pada masa akan datang sekirnya kita masih lagi berdegil untuk meneruskan dasar ini. Sejarah telah membuktikan segalanya.Tegakah kita melakar sejarah hitam untuk warisan anak bangsa kita.fikirkanlah. Kepada Tun Mahathir, tindakan anda salah walaupun ia adalah untuk niat yang betul.

Oleh;

Saudari Anis,

Ahli GAMIS JOHOR

No Response to "Isu Bahasa: Apa pendirian Mahasiswa?"