Friday, October 17, 2008

GAMIS bersama Penduduk Kampung Baru Plentong Tengah



Gabungan Mahasiswa Islam –Semalaysia (GAMIS) bersama-sama dengan penduduk Kampung Baru Plentong Tengah sebagai sokongan moral untuk mengelakkan Kampung Plentong Tengah dirobohkan oleh pihak pemaju.

Dalam pada itu wakil mahasiswa melahirkan kekesalan dengan sikap Menteri Besar Johor, Dato' Seri Abdul Ghani Othman yang dilihat tidak membela nasib rakyat. Alangkah malangnya apabila kita mempunyai MB yang lebih mementingkan Jamuan Hari Rayanya daripada memikirkan kesengsaraan yang dialami rakyat.

Penduduk kampung di sini akur kerana mereka tahu walaupun mereka menentang tetapi mereka tidak akan menang. Keputusan mahkamah telah menyatakan penduduk gagal dalam kes ini. Penduduk di sini hanya memohon sedikit simpati supaya kerja-kerja merobohkan kampung mereka ditangguhkan sehingga penempatan baru di Bukit Dagang siap sepenuhnya.

GAMIS juga membantah sekeras-kerasnya tindakan pihak polis menahan 27 penduduk Kampung Berembang dan beberapa orang aktivitis sosial kerana mengadakan bantahan berhubung kerja-kerja merobohkan rumah mereka semalam. Perobohan ini tidak wajar kerana ia merupakan satu pencabulan ke atas hak penduduk untuk mempertahankan rumah kediaman mereka yang telah diduduki untuk sekian lamanya.

Dan kini kerja-kerja meroboh hanya membabitkan 10 rumah yang dikosongkan penduduk sebelum ini. Selepas 29 Oktober ini, sebanyak 291 rumah akan dirobohkan.

Monday, October 13, 2008

Isu Kampung Plentong – Menuntut Sebuah Keadilan

Seramai 34 orang wakil Gabungan Bertindak Mahasiswa Selatan (GBMS) yang terdiri daripada GAMIS Johor dan DEMA telah turun ke Kampung Baru Plentong Tengah untuk mengadakan tinjauan di kampung tersebut. Hasil daripada tinjauan kami, kami mendesak pihak kerajaan untuk mengadakan satu resolusi yang terbaik bagi kepentingan semua pihak terutamanya penduduk.

Tindakan menghalau 3000 penduduk bukanlah satu penyelesaian yang terbaik. Ini kerana kebanyakan penduduk adalah peneroka tanah yang telah 24 tahun menetap di situ. Sebahagian daripada penduduk juga telah mengeluarkan wang pendahuluan bagi mendapatkan hak milik tanah ini. Kami memohon agar pihak kerajaan membuat keputusan yang terbaik baik bagi memastikan kebajikan rakyat terjaga.

Sekiranya penduduk dihalau daripada kawasan ini tanpa pembelaan yang sewajarnya, banyak pihak yang akan mendapat kesan negatif. Diantara kesannya adalah

1. Tempat kerja akan menjadi jauh bagi penduduk yang telah berkerja.

2. Anak-anak yang bersekolah juga terpaksa menanggung kesan jika dihalau kerana sekolah juga akan menjadi jauh.

3. Segala usaha yang dilakukan untuk membuat rumah selama ini, menjadi sia-sia sahaja.

4. Pelajar yang akan mengambil peperiksaaan PMR dan SPM juga akan terganggu konsentrasi mereka terhadap pelajaran dan peperiksaan.

Sehubungan dengan itu, kami berharap agar pihak kerajaan dapat melanjutkan kes ini selama 2 tahun lagi dan mewujudkan satu biro khas bagi menyesaikan isu ini. Ia adalah bagi memastikan penyelesaian secara baik dapat dibuat dan untuk memastikan tiada keganasan dan kezaliman berlaku.

Thursday, September 25, 2008

SELAMATKAN KAMPUNG KAMI


Kronologi Kampung Baru Plentong Tengah :


1984 - 1986 :

KAMI telah meneroka dan menduduki tanah lot tersebut dalam keadaan hutan rimba dan telah mendapat sokongan kuat daripada pelbagai pihak terutamanya Wakil Rakyat mereka ketika itu lalu KAMI memohon serta mengisi borang permohonan tanah dengan bayaran RM 10.00 di Pejabat Tanah Daerah Johor Bahru dan kemudian tanah tersebut telah diberi nama KG BARU PLENTONG TENGAH. (KBPT)

1987

PTG telah kurniakan KBPT kepada Mosbert Berhad (MB). !!! KBPT telah bertukar pemilik sebanyak 2kali dalam masa dan waktu yang sama.!!!

( Mosbert Berhad (MB) Jet Ace Const (JAC) Oakfield Ent ( OE )

1989 - 1993

Atas niat untuk memiliki KBPT secara sah dan diatas sokongan serta galakan daripada Wakil Rakyat dan pelbagai pihak, persetujuan telah dibuat dengan OE tersebut setelah tawaran menjual tanah lot kepada KAMI dengan kadar nilai RM 5.00 bagi setiap kaki persegi dan sejumlah RM 417,307.93 telah dikumpulkan sebagai bayaran 10% drpd harga jualan telah diSONGLAP oleh Peguam yang dilantik.!!!

1994 - 1995

KAMI sekali lagi ditawarkan utk membeli KBPT secara individu dgn bayaran wang pendahuluan sebanyak RM 3K iaitu 10% dari jumlah keseluruhan. Seramai 236 orang telah membuat bayaran berjumlah RM 820,000.00 kepada firma guaman milik OE.

1996

OE telah menjual KBPT kpd Bukit Lenang Devp

Persoalannya , perlukah kami akur dengan penindasan ini ?

1999

PENEMPATAN SEMULA - Dari lebih 345 penduduk, hanya 179 yg ditawarkan & hanya 123 yg terima kurnia.

2000

RUMAH IBU - BLD menawarkan utk membina rumah ibu di Penempatan Semula, Tapi TIPU.!!!

2006

TAWARAN MUHIBAH #1 - Melalui YB Datuk Seri Khaled (DSK), BLD menawarkan pampasan RM 10K + RM 2K, KAMI ajak runding, BLD buat derk.!!!

2007

RUMAH MESRA RAKYAT - Seramai 134 Penduduk yg dikurniakan Penempatan Semula menghadiri temuduga Syarikat Perumah Negara Berhad, tapi takde respond.

2007

TAWARAN MUHIBAH #2 - BDL tawarkan RM 2K dan bina jalan di Penempatan Semula, KAMI ajak runding, BDL buat derk jugak.!!! Lastly tak jadi bina jalan & tukar nak ratakan tapak plak, tapi tipu gak.!!!

2007

RUMAH KOS RENDAH - 67 generasi ke2 KAMI memohon rumah kos rendah melalui Tn Hj Baha (Pegawai Khas DSK), tapi diPENDAM sehingga OGOS, 2008

15 hb OGOS 2008

KALAH DI MAHKAMAH - Hampir 3K Penduduk KBPT hendak dihalau dari KAMPUNG HALAMAN KAMI.!!!

SIAPA PEMBELA KAMI


Inilah Perjuangan Kami,
Dalam Menuntut Hak Kami,
Kg Baru Plentong Tengah

Disediakan Oleh
JENTERA KOMUNITI BELIA
JAWATANKUASA BERTINDAK (JKB) KBPT

Saturday, September 13, 2008

Pasca PRK : Zon Selatan "Fatigue"...???

13 SEPTEMBER 2008 - Alhamdulillah, setinggi kesyukuran saya panjatkan kpd Ilahi atas segala limpahan nikmat dan rahmat ke atas makhluk di muka bumi. Juga pujian padaNya kerana sehingga saat ini nikmat Ramadhan masih lagi Allah bentangkan buat saya dan semua muslim yg bernyawa di kala ini.


Adaptasi Akademik Dalam Dunia Realiti

Penjurusan saya dalam bidang Mekanikal, majoring manufacturing a.k.a pembuatan, sememangnya tidak akan lekang dengan istilah 'fatigue' ini. Bahkan ianya merupakan masalah utama atau 'defect' yakni salah satu jenis kegagalan bahan yang amat2 digeruni oleh jurutera mekanikal. Ini kerana 'crack' atau 'fracture' (retak dan patah) boleh berlaku bila2 masa tanpa ada sebarang sign atau petanda awal kegagalan@patah tersebut akan berlaku.




Kesan 'fatigue' pada sebuah rim basikal


'Fatigue' ini sekiranya diistilahkan dengan bahasa mekanikal ia bermaksud kelesuan yang disebabkan tindakan daya yang berulang-ulang yang dikenakan untuk suatu jangka masa. Pengulangan daya yang berterusan ini sekalipun kecil akan menyebabkan stuktur bahan menjadi lemah, justeru ikatan atom semakin longgar dan akan menghasilkan titik permulaan retak di bahagian 'stress consentration' ataupun titik tumpuan tegasan. Jadi kawasan permulaan retak tadi akan merambat secara cepat dan menyebabkan kegagalan (patah) secara tiba2 tanpa disedari.



Realiti Yang Perlu Dikaji


Fanomena seperti yang saya terangkan di atas, sedikit sebanyak memberi gambaran jelas senario yang berlaku di zon selatan dalam menghadapi Pilihan Raya Kampus (PRK) untuk kali ini. 'Fatigue' atau kelesuan nilai dan semangat politik dikalangan mahasiswa UTM terutamanya, memberi kesan kepada corak pergerakan Pro-Mahasiwa untuk terus menonjolkan diri sebagai platform mahasiswa untuk mahasiswa.

Apa yang dapat saya kongsikan di sini ialah gambaran kelesuan pergerakan mahasiswa selaku 'check n balance' negara adalah disebabkan oleh beberapa faktor luaran dan dalaman yang telah sekian lama menghimpit kehidupan mahasiswa untuk keluar dari kepompong kelesuan ini.

Hatta, sehinggakan gerakan mahasiswa itu sendiri tidak mampu mempamerkan wajah sebenar mereka secara berhadapan dengan mahasiswa menyatakan idealisme untuk mempertahankan hak serta kebajikan mahasiswa.

Isu AUKU yang tidak pernah diapi-apikan, kebajikan mahasiswa yang hanya sayup-sayup kedengaran, masalah hak yang tidak pernah dirungkai dan pelbagai lagi 'kerja gila' zaman mahasiswa masih belum di ambil cakna. Bukan hanya mahasiswa, malah Gerakan Mahasiswa itu sendiri gagal untuk memberi 'enforcement' dan momentum kepada jiwa-jiwa mahasiswa untuk bangun menyatakan pendirian terhadap idealisme mereka.

Kelesuan yang berterusan ini dibimbangi akan menjadi faktor utama kepada kegagalan selamanya, seandainya tindakan awal 'counter-measure' tidak diambil. Apa yang saya bimbangkan ialah sekalipun kita berada di dalam zon kehangatan menanti 16 September atau lebih sesuai dikatakan sebagai Malaysia Baru, namun situasi 'fatigue' zon selatan ini bakal menjadi tabir besar yang menghalang mata mahasiswa dari melihat kebenaran yang sebenarnya.

Lebih saya risaukan ialah, situasi lebih buruk dari yang sebelumnya bakal berlaku. Kita akan terus berenang di dalam dunia kelesuan di bawah tampok pemerintahan ASPIRASI tanpa dapat melahirkan 'figure' yang dapat merubah cuaca politik kampus UTM dalam mendepani masyarakat yang inginkan perubahan. Malah mungkin kita akan ditindas hidup-hidup oleh mereka yang menggunakan kuku dan taring besi di kampus tanpa berusaha untuk mencari jalan keluar dari jerat penindasan ini sekalipun dunia di luar kampus telah ditawan oleh 'pihak kebenaran'.


Salah siapa??

Apakah kekuasaan milik pentadbiran dan ASPIRASI menyebabkan kelesuan generasi hari ini menjadi-jadi??

Apakah alasan AUKU patut dijadikan punca utama kelesuan minda mahasiswa untuk berubah dan merubah??

Mungkinkah pendekatan Gerakan Mahasiwa kampus yang mengambil langkah untuk sekadar menjadi back-liner beralasankan takut dikenakan tindakan dsbg nya??

Setakat ini saya masih lagi kabur dengan cuaca pergerakan mahasiswa di bahagian utara??Mungkinkah barah yang sama sedang meraka derita seperti kami saat ini??Atau mungkin langkah yang lebih jauh berbanding rakan kita yang berada di wilayah politik yang sebenar, yakni zon tengah??

Jadi, persoalan-persoalan di atas saya timbulkan untuk perkongsian bersama bagaimana kelibat mahasiswa di zon tengah khususnya UM bukan setakat disanjungi oleh mahasiswa atas kepimpinan dan idealisma mereka, malah turut digeruni barisan pentadbiran, hatta pimpinan negara sekalipun.

Mungkin percambahan idea ini bakal melahirkan lebih banyak cabang2 idea yang baru buat Gerakan Mahasiswa di zon selatan untuk mengambil peluang PRK kali ini sebagai medan untuk membuka lembaran sejarah baru reformasi mahasiswa zon selatan yang sekian lama telah membeku.

Bukankah kita ingin untuk melihat suatu kesatuan Gerakan Mahasiswa yang berbaris panjang dari utara semenanjung sehingga ke puncak Kinabalu menyatakan mesej bahawa mahasiswa ada kuasa dan suara untuk merekabentuk struktur negara??

Oleh itu saya sememangnya mengalu-alukan pandangan dan idea-idea 'rakan-rakan sepejabat' untuk memberikan zon selatan kunci untuk membuka laluan suara mahasiswa yang telah sekian lama gemanya diserap oleh rasa takut mahasiswa itu sendiri.

Kepada Mahasiswa! Ayuh berubah dan merubah. Kuasa perubahan ada dalam gemggaman kita.

http://amin-hamami.blogspot.com/

Saturday, September 6, 2008

DAKWAH : Powerful and fundamental engine in spreading ISLAM

DAKWAH – short and simple six alphabets word, but presenting a tremendous and significant outcome.


SABTU, 30 Ogos 2008 - Terlintas ungkapan ini untuk dikongsi bersama pembaca semua. Terminologi yang tidak asing lagi bagi mereka yang menjadikan agenda Islam sebagai matlamat kehidupan dunia dan akhirat. Namun kritikan sinis dari saya buat diri saya sendiri selaku pelakon episod cerita DAKWAH ini dan juga kepada seluruh ahli gerakan dakwah di Malaysia khususnya, sejauh mana kita telah menyelak semula kamus haraki edisi semasa bagi menafsirkan kembali makna DAKWAH dalam dunia yang penuh kebejatan ini.

Malah sedih untuk saya katakan, ada di kalangan aktivis dakwah (siapa makan cili dia terasa pedasnya) memandang sebelah mata apabila bertemu dengan perkataan DAKWAH ini di celah helaian artikel, majalah dan bahan ilmiah yang lain, seolah-olah segalanya berhubung dengan ilmu DAKWAH sudah kita hadam tanpa perlu ada sumber lain yang memberitahu kita apa itu erti dan tuntutan DAKWAH. Jelek lagi pelik.Tapi inilah realiti yang berlaku sehingga saat ini menyebabkan gerakan dakwah kita dibelenggu dengan kejumudan, malah dengan mendabik dada kita menafikan pandangan luar yang mengkritik bahawa gerakan dakwah masih dibawah tempurung tanpa lubang.


Analogi DAKWAH – Doktor pakar, penawar dan pesakit



Senario masyarakat Malaysia hari ini yang terpengaruh dengan mainan agensi Yahudi menyaksikan masyarakat yang bukan sahaja sakit malah tenat dibuai dengan arus hedonisme melampau dan tangan-tangan pemerintah yang mendidik masyarakat dengan kitab sekularisme. Penawarnya telah ada tersedia depan mata yakni DAKWAH. Cuma masalahnya sehingga kini, kita masih lagi kekurangan Doktor pakar yang dapat melakukan operation ke atas pesakit-pesakit ini dan memberikannya penawar supaya penyakit yang ada pada mereka sembuh. Yang ramai pada ketika ini hanyalah jururawat dan pembantu perubatan sahaja yang tidak arif untuk memberikan penawar bekenaan kepada pesakit.

Sakit ini apa jenis ubatnya? Berapa banyak dosnya? Bila masanya yang sesuai untuk penawar tersebut diberikan? Kalau terlebih atau terkurang, bagaimana??




Persoalan-persoalan ini seharusnya dibawa untuk duduk didiskusi bersama antara Doktor pakar dan juga jururawat. Natijahnya pasti positif. Sekalipun tidak semua jururawat yang akan menjadi Doktor pakar, tapi sekurang-kurangnya walaupun tanpa kehadiran Doktor pakar disisi jururawat, dia mampu dan yakin untuk menyuapkan ubat ke mulut pesakit. Simple kan. Tapi realitinya tidak sebegini. Masing-masing dengan kot seragam yang tersendiri. Susah untuk berdiri bersama-sama dalam satu barisan. Nanti nampak pelik pula katanya. Sifat sebegini harus dicampak jauh-jauh. Untung pun tidak, rugi berganda.

Sedikit sebanyak saya cuba untuk berkongsi situasi di atas dalam orbit sebenar dunia hari ini. Apa yang boleh saya katakan ialah kita masih lagi ketandusan ‘think tanker’ dakwah bukan sahaja diluar dari kampus, hatta di gedung ilmu ini sendiri tak ramai yang kita dapat lahirkan. Kalau ada pun tak ramai. Dan yang ada pun masih lagi tidak dapat untuk menyampaikan mesej kepada mahasiswa terutama aktivis dakwah itu sendiri untuk sama-sama kita melangkah ke suatu era baru. Yang mana persekitaran kita hari ini menagihkan ‘dakwah jenama baru’ tidak lagi kaedah lama yang sering digunapakai.

Pembaca kena faham dan jelas bahawa idea saya ini bukan untuk mengkritik dan menafikan dakwah yang ajarkan oleh Nabi Muhammad s.a.w yang tercinta kepada kita, kerana realitinya hari ini adalah yang tidak lagi relevan bukanlah isi dakwah itu, tapi approach dan pendekatannya. Kaedah dan metodologi dakwah pada zaman nabi, para sahabat serta gerakan-gerakan dakwah Islam yang wujud suatu ketika dahulu barangkali hanya sesuai dipasarkan era tersebut, dengan keadaan mad’unya yang sedemikian dan musuhnya yang sebegitu rupa. Tapi sebagai pelaku dakwah kita perlu sedar bahawa masa silih berganti, era berubah wajah, mad’u bersalin kulit dan musuh bertukar topeng, justeru dakwah harus didefinasi semula dalam konteks pendekatan dan cara bertindak supaya kita dapat bersaing dengan masa dan perubahan iklim semasa.


Selera Dakwah Masyarakat Hari Ini




Suka untuk saya kongsi bersama sedikit tulisan Presiden GAMIS, Ustaz Dzul Khairi Mohd Noor dalam satu tulisan beliau :-


“Gerakan dakwah berteraskan kebajikan perlu diwujudkan. Gerakan dakwah semata-mata dakwah tanpa menitikberatkan soal kebajikan tidak akan memberi makna yang besar. Sudah banyak kali gerakan dakwah tanpa selera kebajikan yang berkonsepkan edaran-edaran risalah, ceramah-ceramah dan nadwah-nadwah, turun ke surau dan sebagainya tidak memberikan impak yang besar terhadap gerakan dakwah itu sendiri. Namun, ia bertukar sebaliknya apabila gerakan dakwah mula mengambil kira soal kebajikan kerana lumrah manusia sukakan orang yang mengambil berat terhadap mereka.”


Di penghujung tulisan beliau, dengan agak yakin beliau menyatakan bahawa ramai yang akan merakamkan rasa tidak senang terhadap pandangan beliau lantaran wajah GAMIS selama ini dikenali dengan rupa siasah semata-mata. Tapi kita kena jelas bahawa sesiapa sahaja yang menggelar diri mereka pendokong ISLAM, maka peranan dakwah perlu digalas dengan baik.

Sekalipun mungkin ramai yang bertentang arah dengan pandangan ini, namun bagi saya ia merupakan trend baru dalam usaha kita ‘menjenama’ semula dakwah di mata masyarakat. Masyarakat yang tidak berjubahkan kehidupan Islam, akan lebih merasa senang dengan pendakwah yang menggunakan 'kunci' kebajikan sebagai pembuka pintu hati mereka. Mungkin inilah selera dakwah yang ditunggu-tunggu oleh masyarakat kita hari ini.




Sudah tiba masanya, doktor-doktor pakar mencari formula-formula terkini dalam menghasilkan ubat-ubatan mereka agar penawar tersebut mudah dihadam dan diterima oleh badan pesakit. Buat doktor-doktor pakar,ingat! Penyakit zaman sekarang dah makinpelik-pelik.


Kalam penutup bicara


Cuma ingatan buat diri saya dan aktivis dakwah yang lain, bahawa kita perlu melihat masyarakat sebagai mad’u dengan kaca mata dakwah dan bukannya pandangan Islah. Kerana sekiranya kita memandang masyarakat dengan pandangan Islah sudah pasti kita akan cepat menghukum orang Islam jahil yang tidak melaksanakan tuntutan agama. Tetapi andai kita melihat dengan kacamata dakwah, tentunya akan timbul perasaan simpati pada mereka yang jahil akan ilmu agama, dan usaha untuk membawa mereka kembali mencari sinar Ilahi akan menjadi mudah. Renung-renungkanlah.

Don’t just let the word DAKWAH move itself. We should drive it!



Idea ikhlas dari,

MOHD AMIN BIN MOHD HAMAMI
SARJANA KEJURUTERAAN MEKANIKAL-PEMBUATAN
UNIVERSITI TEKNOLOGI MALAYSIA, SKUDAI,JOHOR

Wednesday, August 27, 2008

Permatang Pauh: Mahasiswa kemuka 5 tuntutan

24 Ogos 2008, Permatang Pauh : Selepas mengedarkan risalah dari rumah ke rumah, seramai hampir 100 orang mahasiswa dari pelbagai front berhimpun di sebuah masjid di Permatang Pauh bagi menyatakan 5 tuntutan untuk dilaksanakan oleh calon-calon yang bertanding sekiranya menang. Deklarasi manifesto yang telahpun disampaikan kepada YB Arif Shah (BN) dan saudara Anwar Ibrahim (PKR) tersebut telah diketuai oleh Mohd Hafizudin Abirerah selaku Pengerusi, National Students’ Coalition Movement (NASCAM) yang menggabungkan 15 buah front mahasiswa iaitu GAMIS, SMM, DEMA, PMN, Pro Mahasiswa, PKPIM, GMMA, GPMS, KARISMA, TERAS, UMANY, GBMU dan BBMN.

Lihat video

Antara 5 tuntutan tersebut adalah :

1. Politik - menuntut pilihanraya kecil ini dilaksanakan secara telus dan adil serta memberi kebebasan bersuara kepada mahasiswa menyatakan pandangan

2. Pendidikan - memberi pendidikan percuma kepada segenap lapisan pendidikan bermula dari tadika, sekolah rendah, sekolah menengah, dan IPTA/S serta memberi kebebasan memberi pandangan dan membuat kajian akademik kepada guru, pensyarah dan mahasiswa semua peringkat

3. Sosial - Membasmi kemiskinan tegar tanpa mengambilkira latarbelakang kaum dan ideologi politik dan menjaga kebajikan rakyat secara serius dan konsisten

4. Hak Asasi Manusia - memansuhkan AUKU dan ISA

5. Ekonomi - melaksanakan pengurusan ekonomi yang kemas dan tersusun yang bebas dari penyelewangan dan penindasan

Akan datang - gambar saudara Hafizudin menyerahkan manifesto mahasiswa kepada wakil calon BN, Arif Shah dan Anwar Ibrahim dari PKR

Saturday, August 9, 2008

GAMIS buat bantahan mendesak KPT campur tangan isu pembatalan MOU Al-Azhar

Seramai hampir 100 mahasiswa berhimpun di hadapan Kementerian Pengajian Tinggi, Putrajaya pagi tadi. Himpunan anjuran Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) dan Gabungan Mahasiswa 18 IPTS Membantah Pembatalan MOU Al-Azhar (BANTAH) itu dilakukan untuk mendesak Kerajaan Malaysia melalui Kementerian Pengajian Tinggi campur tangan dalam isu pembatalan MOU Universiti Al-Azhar dengan 18 buah IPTS di Malaysia.

GAMIS merakamkan ucapan terima kasih kepada hampir lebih 100 orang mahasiswa dari Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS) di Kelantan, Kolej Universiti Insaniah (KUIN) di Kedah yang telah hadir dari kejauhan, serta mahasiswa dari Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS) di Selangor.

Hasrat GAMIS untuk bertemu sendiri dengan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Khaled Nordin tidak kesampaian kerana beliau sedang berada di kawasan Parlimennya. Pihak KPT melalui Encik Arif dan beberapa pegawai KPT yang telah menerima kandungan memorandum GAMIS dan BANTAH tersebut telah memberikan jaminan untuk mengambil tindakan yang sesuai dengan lebih bertanggungjawab dalam menangani isu ini.

Dalam kandungan memorandum tersebut, GAMIS dan BANTAH menegaskan bahawa penarikan kembali MOU tanpa notis oleh Universiti Al Azhar begitu mengejutkan. Isu ini telah membawa 18 kampus yang terlibat dengan lebih 5000 orang pelajar telah mengalami masalah dan ia akan mengundang kepada suatu masa depan yang samar.

Presiden GAMIS, saudara Dzulkhairi Mohd Nor dalam ucapannya menyatakan bahawa GAMIS melihat banyak impak negatif rentetan daripada penarikan ini berlaku yang di antaranya;

• Keputusan mengejut ini telah meyebabkan pelajar dan pengurusan IPTS terlibat menjadi masalah
• Usaha IPTS dalam meringankan kerajaan melahirkan modal insan akan terbantut
• Majoriti kampus adalah dipunyai oleh golongan Melayu- Islam ini akan membawa kepada kekurangan pelajar dan berisiko untuk tutup
• Pilihan untuk mahasiswa Melayu- Islam bagi mendapatkan pendidikan terbaik semakin terhad
• Hasrat pelajar untuk membantu negara dalam posisi yang lebih strategik tidak tercapai.

Atas sebab itulah, GAMIS dan BANTAH mendesak :

• KPT dan Kerajaan Malaysia semestinya campur tangan dengan langkah yang sesuai dalam mendesak pengurusan Universiti Al Azhar menimbangkan kembali keputusan penarikan Mou yang telah dibuat.
• Pihak kedutaan Malaysia di Mesir perlu memainkan peranan dengan lebih amanah.
• Mendesak kerajaan Malaysia mengkaji dan menyemak kembali intergriti pihak kedutaan Malaysia di Mesir.
• Menggesa pengurusan Universiti Al Azhar membantu meningkatkan kualiti kolej-kolej swasta yang ada dibawahnya; bukan dengan cara membatalkan secara mengejut sehingga menyebabkan mahasiswa terlibat teraniaya.


GAMIS Edar Risalah di Masjid Negara


Solat Hajat di masjid Negara

Tinta Pembuka..

Dengan lafaz kalam yang suci, saya membuka blog GAMISJOHOR dengan rasminya pada tarikh 8/8/2008.

Bismillahirrahmaanirrahim..

Skudai,JHR

Email

Sebarang pertanyaan, cadangan atau ingin menghantar artikel, sila hantarkan ke email kami di alamat email berikut:

gamisjohor@yahoo.com