Friday, May 21, 2010

Ratu Cantik Agenda Tersirat Barat

Posted on 10:06 AM by GAMIS JOHOR



Oleh : Saidatun Nor Binti Awang

Satu masa lalu kita telah didedahkan dengan satu fatwa berkaitan hukum wanita Islam menyertai apa-apa jenis pertandingan ratu cantik. Fatwa ini telah dikeluarkan oleh Allahyarham Dato Haji Ishak Baharom, bekas mufti negeri Selangor iaitu sekitar tahun 1997 dan disahkan oleh Sultan Selangor. Fatwa ini dikeluarkan ekoran sekitar tahun itu banyak pertandingan ratu cantik yang telah dijalankan dan apa yang menyedihkan dan memalukan apabila terdapat ramai juga wanita yang beragama Islam tidak terlepas dari menyertainya.

Perbuatan mendedahkan aurat tidak kira lelaki atau perempuan memang dilarang dalam agama Islam. Enakmen Pentadbiran Perundangan Islam negeri Selangor mengenai fakwa tentang penyertaan wanita Islam dalam pertandingan ratu cantik sebenar telah dua tahun diwartakan mengikut Warta Kerajaan Negeri Selangor Jil. 48 No. 10 bertarikh 11 Mei 1995 ["Adalah haram bagi wanita Islam menyertai apa-apa jenis pertandingan ratu cantik" - Fatwa itu dibuat pada 28 April 1995 (JAI. Sel. 8014/7 Jilid III; P.U. Sel. 2780)].

Kemuncak kontroversi yang melibatkan pertandingan ratu cantik ini ialah apabila membabitkan peserta Muslim dalam sejarah penganjuran Ratu Universe, berlaku di Bangkok pada 2005 yang dicetuskan Ratu Indonesia, Artika Sari Dewi. Sudahlah beragama Islam, mewakili pula Indonesia iaitu negara yang paling ramai umat Islam di dunia yang menjadi penyertaan pertama Jakarta sejak sedekad selepas diharamkan kerajaan Suharto.

Setelah beberapa ketika isu ini direhatkan daripada pengetahuan orang Islam khususnya, hari ini sekali lagi kita dikejutkan dengan hasil keputusan pertandingan ratu cantik yang telah diadakan di Las Vegas yang mana seorang gadis berketurunan Arab Lebanon, Rima Fakih yang berusia 24 tahun telah menjadi wanita Islam pertama memenangi gelaran Ratu Cantik USA kelmarin. Dalam pertandingan ini, semua peserta dikehendaki memperagakan gaun malam, memakai pakaian renang pada acara pakaian renang selain perlu menjawab beberapa soalan tertentu pada sesi temu ramah.

Islam telah membataskan batasan aurat yang sepatutnya harus ditutupi oleh wanita muslim iaitu dari pusat sampai ke lutut bagi sesama wanita muslim. Sedangkan aurat yang harus ditutup oleh wanita muslim dari pandangan wanita non-muslim adalah seperti penutupan yang harus dilakukannya terhadap lelaki yang bukan mahramnya. Lihatlah betapa acara ini begitu bertentangan dengan ajaran Islam dan juga menjadi satu penghinaan ke atas martabat dan maruah golongan wanita khususnya wanita Islam bilamana anggota badan mereka dengan senangnnya ditonton oleh orang ramai tidak kira agama atau jantina dan dinilai kecantikannya oleh juri tertentu.

Seperti yang diterangkan diatas,isu ini sudah lama bermain di negara-negara Islam, namun adakah dengan ‘pertabalan’ ratu cantik Islam ini akan membuka jalan atau peluang kepada remaja-remaja Islam lain untuk turut sama mengorak langkah menyertai mana-mana pertandingan ratu cantik kelak? Cukup merisaukan andai perkara ini bisa mempengaruhi pemikiran anak muda zaman sekarang yang mana sememangnya buta dalam menilai halal haram sesuatu perkara. Inilah kejayaan besar buat negara barat dan musuh-musuh Islam kerana kehalusan dan kelicikan perancangan mereka yang sukar dihidu yang pada akhirnya akan memusnahkan identiti masyarakat Islam itu sendiri. Kita selaku masyarakat Islam pada hari ini perlu sedar dan cakna akan serangan demi serangan yang telah barat halakan khasnya agar umat Islam sentiasa leka, lalai dan hancur mengikut apa yang telah mereka rancangkan.

Pihak yang berwajib juga haruslah memainkan peranan yang sepatutnya dalam memastikan isu umat Islam khususnya wanita Islam tidak lagi diperkotak katikkan dan dijaga maruah serta martabatnya dimata masyarakat lain. Kita tidak menghalang wanita untuk menyertai apa sahaja bentuk pertandingan, asalkan pertandingan itu tidak bertentangan dengan apa yang telah Islam gariskan. Begitu juga dengan isu pertandingan ratu cantik ini.

Tatarstan, sebuah negara di ceruk timur Eropah suatu masa lalu pernah diadakan pertandingan ratu cantik yang melibatkan seramai 56 orang peserta, semuda usia 15 tahun yang bertudung, dinilai bukan atas dasar kecantikan rupa dan tubuh badan tetapi dinilai berdasarkan kecerdikan serta pengetahuan agama Islamnya. Yang Paling penting, semua barisan juri dan penontonnya adalah terdiri daripada wanita. Mufti Mesir, Sheikh Mohammed Farid Wassel menganggap ia menjadi landasan penting mencari wanita Muslim yang benar-benar layak digelar wanita solehah dan menjadi ikutan gadis Islam lain. Wanita hari ini perlu membuka mata selebarnya kerana banyak alternatif yang telah islam anjurkan dan gariskan terutamanya yang menyentuh berkaitan keterlibatan wanita dalam pelbagai pertandingan terutamanya pertandingan ratu cantik dan seumpamanya.

*Penulis merupakan Pengerusi HEWI PMIUTM merangkap Pengerusi SIGMA negeri JOHOR

No Response to "Ratu Cantik Agenda Tersirat Barat"