Sunday, June 14, 2009

PTPTN : Rakyat berhutang kena bayar balik, kerajaan berhutang biasiswa?

Posted on 5:35 PM by GAMIS JOHOR

Respon terhadap laporan Berita Harian:PTPTN kaji syor potong gaji peminjam

Assalamu'alaikum w.b.t dan salam transformasi minda mahasiswa

Isu yang berlarutan sejak lama dahulu dan kini dibangkitkan semula iaitu berkaitan hutang pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional, PTPTN yang katanya telah pun mengenakan tindakan terhadap peminjam yang masih belum membayar semula pinjaman terbabit termasuk 'Blacklist' kira-kira 15,000 bekas pelajar dari ke luar negara. Kini dalam rangka mempertimbangkan cadangan untuk mengenakan tindakan pemotongan gaji peminjamnya terus melalui majikan seperti Potongan Cukai Berjadual (PCB) atau caruman bulanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja sekiranya bekas pelajar masih ingkar dan berdegil untuk membayar hutang.

Bagi saya, adalah positif untuk melaksanakan apa sahaja cadangan termasuk cadangan terbabit bagi cepat melangsaikan segala hutang bekas pelajar dengan pihak berkenaan atas alasan "hutang mestilah dibayar balik." Ya, apa cara sekali pun, hutang mesti dibayar balik.

Tetapi, saya juga ingin menyarankan kepada pihak Kerajaan agar jangan lagi bercakap soal membanteras ceti haram, ah-long dan sebagainya atas alasan tindakan ah-Long dan ceti haram yang menggunakan kekerasan termasuk menyeksa dan mengurung mangsa mereka yang gagal menjelaskan hutang sebagai satu tindakan yang tidak berperikemanusiaan dan melampaui batas.

Sekiranya Kerajaan terus bersuara dalam soal membanteras kegiatan ceti haram,pada saya ianya adalah ibarat meludah ke muka sendiri. Hampir tiada sedikit pun perbezaan antara tindakan Kerajaan khususnya Kementerian Pengajian Tinggi yang dilihat lebih bersifat mengugut dan mengertak bekas mahasiswa dengan kegiatan Ah-Long dan Ceti Haram yang turut melakukan perkara menurut kaedah yang sama. Kedua-duanya mengongkong dan menjerat penghutang.

Lebih berat lagi, Kerajaan terus menafikan hak mahasiswa khususnya Bumiputera dalam perkara (153) berkaitan Hak Istimewa Bumiputera, antaranya adalah biasiswa. Ianya lebih zalim dari tindakan Ceti Haram yang saya pasti, mereka menggunakan budi bicara dan diplomasi terlebih dahulu sebelum menjerat dan memerangkap mangsa mereka. Hasil pujuk rayu mereka barulah akhirnya mangsa berjaya diperdayakan sedangkan dalam soal pinjaman PTPTN, mahasiswa awal-awal lagi dinafikan hak biasiswa mereka lalu dihumban ke kancah hutang piutang secara terpaksa.


Saya lebih cenderung untuk membincangkan isu ini di luar dari 'kepompong' idea yang diketengahkan oleh kebanyakan media arus perdana tempatan. Saya lebih suka melihat apakah kesannya secara tidak langsung kepada soal pembangunan negara dan Modal Insan yang selalu disebut-sebutkan.

Saya melihat melalui perbandingan dengan negara-negara maju yang lain termasuklah dengan negara Republik Islam Iran dan Jerman di mana mereka mengkaji dan melihat bahawa pendidikan negara mereka semestinya dapat melahirkan graduan yang akan kembali menyumbangkan kepada negara mereka. Bagaimanakah langkah untuk mahasiswa mereka kembali menyumbangkan kepada negara telah diteliti dan dikaji sehinggakan mereka berjaya menghilangkan hampir kesemua bebanan berbentuk material buat seluruh mahasiswa mereka.

Biasiswa, kemudahan pembelajaran & pelajaran serta lain-lain lagi diberikan khusus kepada pelajar mereka tanpa berlaku sedikit pun pertikaian berkaitan isu "Mahasiswa tak boleh dimanjakan" dan sebagainya. Ini adalah kerana mereka melihat isu yang lebih besar iaitu pembangunan negara dan modal insan yang betul-betul berkualiti bagi menyumbangkan kepada negara. Malah, soal pendidikan adalah perkara pokok dan isu kononnya mahasiswa tak perlu dimanjakan tidak sekalipun menjengah ruang perbincangan mereka.

Soal kebajikan terhadap mahasiswa inilah yang yang diutamakan oleh negara-negara dunia yang maju dan wajar untuk kita belajar dari mereka. Mahasiswa mereka kelak akan keluar dengan penuh rasa tanggungjawab kepada negara dan dapat memberikan sumbangan tenaga,idea,dan buah fikiran secara maksimum bagi tujuan membangukan negara mereka tanpa perlu memikirkan lagi bebanan berbentuk material yang perlu dilangsaikan selepas mendapat pekerjaan.

Di negara kita pula, sudahlah suara mahasiswa dikekang habis-habisan dengan akta drakonian, AUKU si Kuku Besi (Walaupun dipinda,kami tetap mahu ia dimansuhkan terus kerana mendengar namanya saja pun sudah benci) dan segala macam lagi tindakan otokratik pihak-pihak tertentu bagi menghalang suara dan luahan mahasiswa didengari masyarakat kini, dalam soal tanggungan perbelanjaan pembelajaran juga turut sama dinafikan hak yang telah sedia ada di dalam perlembagaan. Jika Mat-Rempit, (Samseng Jalanan) bebas melakukan apa saja tanpa sebarang akta yang mengekang mereka ditambah biayaan ibu bapa, mengapa mahasiswa dikerjakan habis-habisan sedangkan mereka berusaha membangunkan kesedaran ummah.

Pada saya, pinjaman PTPTN adalah doktrin baru terhadap mahasiswa bagi melahirkan golongan 'berfikrah' materialistik. Inilah kesannya apabila kapitalisme berleluasa sehingga menjengah ke dalam sistem pendidikan negara. Sudahlah pendidikan dijadikan suatu perniagaan, kini outputnya juga ditanamkan dengan minda yang sama. Apakan tidaknya, Mahasiswa yang berhutang adakah apabila mereka memperoleh pekerjaan kelak,mereka akan memikirkan soal memberikan sumbangan untuk negara? Tidak, mereka pastinya akan memikirkan bagaimanakah seharusnya mereka melepaskan diri dari bebanan hutang mereka. Sudahlah pula kini mereka diburu seperti penjenayah. Amat berbahaya sekiranya ada di kalangan mahasiswa yang 'cerdik' ini menyalahgunakan kecerdikan mereka lantaran jiwa mereka yang terdesak. Matlamat barangkali menghalalkan apa sahaja cara bagi mereka. Maka, lahirlah golongan penjenayah keluaran universiti.

Bersama fikirkan...

Muhd Syafiq B Mat Jap
,
Timbalan Presiden GAMIS Johor.

No Response to "PTPTN : Rakyat berhutang kena bayar balik, kerajaan berhutang biasiswa?"