Tuesday, May 12, 2009

Kes Ragut Yang Semakin Menggila Suatu Bala' Dari Allah

Posted on 8:56 PM by GAMIS JOHOR


Oleh : Muhd Muhaimin Bin Zakaria (Timb. Pengerusi 2 Kelab Iqra' UTHM)

“Abdullah bin Umar melaporkan, “Pada suatu hari Rasulullah s.a.w. berjumpa kami lalu berkata, ‘Wahai sekalian muhajirin! Ada lima perkara jika saudara diuji dengannya, saya bermohon perlindungan dengan Allah agar saudara tidak bertemu dengannya:


Antaranya….


“Jika pemimpin mereka tidak melaksanakan hukum yang ada di dalam Al-Quran dan mereka memilih-milih beberapa hukum yang diturunkan oleh Allah sahaja, pasti Allah menjadikan hidup mereka bermasalah.”


(Hadis direkodkan oleh Imam Ibnu Majah)


Belum sempat reda kes ragut yang menyebabkan kematian seorang ibu hamil di Ayer Hitam, Johor, tiba-tiba hari ini timbul pula kes yang sama iaitu juga kes ragut yang menyebabkan kematian seorang lagi ibu hamil yang dilaporkan dalam perjalanan ke rumah emaknya di Tumpat, Kelantan.


Kes sebelum ini yang mana arwah Jamilah, menemui ajal selepas bertarung nyawa lebih 36 jam dalam keadaan koma apabila terjatuh dari motosikal sebaik beg tangan dalam raga disentap peragut dalam kejadian kira-kira jam 7.30 malam, Ahad lalu, di Taman Air Hitam, Batu Pahat. Difahamkan, ketika kejadian, arwah yang bekerja sebagai jurujual kedai kraftangan di pekan Ayer Hitam, baru membeli makanan dan barangan keperluan harian di sebuah pasar malam untuk dibawa pulang ke rumahnya di Jalan Mekar, Taman Mekar, kira-kira 100 meter dari lokasi kejadian.


Allahyarham terjatuh dari motosikalnya dengan muka terhentak jalan. Dilaporkan bahawa seorang lelaki yang lalu di kawasan berkenaan melihat dua lelaki melarikan diri selepas meragut beg tangan mangsa. Sementara itu, adik ipar mangsa, Fauziah Ahmad, 34, berkata dia mempunyai sebab untuk membenci dan berdendam dengan peragut.


“Jika saya mempunyai kuasa undang-undang, sudah pasti saya akan menjatuhkan hukuman paling berat termasuk hukuman mati kepada peragut. Mereka bukan saja pencuri, tetapi juga pembunuh,”



Kes yang berlaku pada hari ini pula (6 Mei 2009), di Kampung Padang Raja, Jalan Melor-Ketereh di sini, mangsa iaitu arwah Saripah Mohd Noor, 33, dari Kampung Melawi, Bachok yang mengandung tiga bulan maut selepas diragut oleh seorang lelaki. Ketua Polis Daerah Kota Baharu, ACP Zahruddin Abdulah berkata kejadian berlaku selepas mangsa yang sedang menunggang motosikal telah diragut beg tangannya sehingga menyebabkan motosikalnya terbabas dan jatuh.


Mangsa kemudiannya dilanggar oleh sebuah kereta yang dari arah bertentangan dalam kejadian kira-kira pukul 10.50 pagi ini. Ketika kejadian, mangsa dilaporkan sedang menunggang motosikal bersendirian untuk ke rumah ibunya di Tumpat


Diakui, segala yang berlaku pada hari ini merupakan takdir dan perencanaan yang telah ditentukan oleh Allah s.w.t sebelum kes itu berlaku lagi. Cumanya, apa yang perlu di jadikan muhasabah di semua peringkat, sama ada diperingkat individu, keluarga, masyarakat setempat dan tidak terlepas juga pemimpin-pemimpin Negara adalah, apakah punca sebenar yang menjadikan kes-kes sebegini sukar untuk dibendung setelah begitu banyak kes sebegini berlaku sebelum daripada ini?


Daripada hadis yang saya cuba kongsikan dipermulaan tulisan ini, sebenarnya sudah cukup menggambarkan kepada kita natijah yang akan kita dapat sekiranya pemimpin-pemimpin Negara kita masih berdegil tidak mahu “memperkasakan” Hukum Allah S.w.t di bumi Malaysia ini. Sepertimana kita semua tahu, Negara kita telah merdeka lebih 50tahun, dan menjadi hak kita untuk menggantikan undang-undang tinggalan British kepada Undang-Undang Islam di Negara ini. Undang-undang Jenayah Islam sepatutnya diyakini lebih menjamin kesejahteraan kepada ummat manusia kerana ianya merupakan suatu “Hukuman Pencegahan” daripada Allah s.w.t kepada makhluk yang diciptakannya.


Dalil hukuman terhadap perompak menurut Undang-undang Jenayah Islam:

"Sesungguhnya pembalasan terhadap orang-orang yang memerangi Allah dan Rasul-Nya dan membuat kerusakan di muka bumi, hanyalah mereka dibunuh atau disalib, atau dipotong tangan dan kaki mereka dengan bertimbal balik, atau dibuang dari negeri (tempat kediamannya). Yang demikian itu (sebagai) suatu penghinaan untuk mereka didunia, dan di akhirat mereka beroleh siksaan yang besar"

(Al-Maidah:33)

Imam Syafie r.a pernah mengulas bahawa : "Sekiranya dalam satu kejadian rompakan itu didapati bahawa hanya ugutan dan perampasan harta yang berlaku,tidak melibatkan kecederaan kepada tubuh badan,maka si perompak perlu dipotong tangan kanan dan kaki kiri mereka (secara bersilang).Jika mangsanya dibunuh maka hukumannya qisas (Bunuh balas).Tetapi jika merompak dan membunuh,maka si pelaku perlu disalib dan dibunuh.Jarak masa paling lama antara si pelaku disalib dan dibunuh adalah 3 hari".begitu pandangan Imam Syafie.


Saya secara peribadinya bersetuju dan menyokong usaha murni YB. Senator Mejar Jeneral (B) Dato’ Jamil Khir bin Baharom (Menteri di Jabatan Perdana Menteri) untuk mempertingkatkan pelaksanaan Undang-Undang Jenayah Islam di Malaysia. Tetapi saya akan lebih menyokong beliau sekiranya, bukan sahaja hukuman sebat menggantikan denda dilaksanakan oleh Mahkamah Syariah, tetapi merangkumi keseluruhan daripada apa yag terkandung didalam kitab Al-Quran seperti Hudud, Qisas dan Ta’zir. Ini kerana bertepatan dengan firman Allah s.w.t didalam surah al Baqarah ayat 208 :


“Hai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam secara KESELURUHAN dan janganlah kamu turut langkah-langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagimu”


Wallahu’alam….


Dipetik dari : www.muhaimin87.blogspot.com (Timb. Pengerusi 2, Kelab Iqra UTHM)

No Response to "Kes Ragut Yang Semakin Menggila Suatu Bala' Dari Allah"