Tuesday, January 27, 2009

Program Ziarah dan Dakwah Platform Terbaik untuk Mendekati Masyarakat

Posted on 10:35 AM by GAMIS JOHOR

Pada 26 Januari 2009 bersamaan dengan 29 Muharam 1430H, Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia cawangan Johor (GAMIS) telah mengadakan program ziarah dan dakwah ke Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru bersempena dengan Tahun Baru Cina. Program ini diketuai oleh saudara Mohd. Zulhilmey Makmud selaku Pengerusi GAMIS Johor yang turut disertai oleh 3 buah kampus yang terletak di cawangan selatan iaitu Universiti Teknologi Malaysia, Politeknik Johor Bahru dan Universiti Tun Hussein Onn. Seramai 86 orang peserta iaitu 70 orang peserta dari UTM dengan diketuai oleh saudara Mohd. Amin bin Hamami selaku Presiden Persatuan Mahasiswa Islam, UTM, 11 orang peserta dari UTHM dengan diketuai oleh Saudara Hazufi dan 5 orang peserta dari Politeknik JB.

Tepat jam 12.00 tengahari, semua peserta telah berkumpul di hadapan hospital untuk sesi pembahagian kumpulan dan seterusnya mendengar sedikit taklimat daripada saudara Mohd. Wafi sebelum memulakan aktiviti ziarah dan dakwah kepada pesakit-pesakit di Hospital Sultanah Aminah.

Program yang bertujuan untuk menziarah para pesakit dan seterusnya membawa agenda dakwah tidak kira kaum, agama dan usia ini menjadi salah satu “platform” yang baik untuk kita selaku penggerak dakwah Islam khususnya di Johor ini bagi memulakan langkah untuk mendekati masyarakat. Salah satu agenda yang dilaksanakan ialah pengagihan buah limau kepada setiap pesakit di situ. Disamping itu, semua peserta tidak melepaskan peluang untuk beramah mesra dan membina hubungan silaturrahim bersama pesakit-pesakit seterusnya menyelitkan unsur-unsur dakwah seperti menunjukkan akhlak yang baik kepada pesakit serta kepada keluarga pesakit yang ada.

Selain itu, program ini juga merupakan kerja lapangan kepada mahasiswa/i untuk mempraktikkan segala teori dakwah yang telah diperolehi di kampus masing-masing. Melalui kerja lapangan ini, mereka dapat menghayati serta merasai keperitan dan kesakitan yang ditanggung oleh pesakit. Justeru itu, para peserta dapat bermuhasabah dan bersyukur atas segala nikmat kesihatan yang masih lagi dikecapi dan dirasai disamping berasa beruntung kerana dapat melaksanakan ibadah kepada Allah dengan mudah dan selesa tanpa sebarang kesakitan. Program ini berjalan dengan lebih lancar lagi dengan bantuan beberapa orang pegawai keselamatan yang bekerja di hospital tersebut dengan bertindak sebagai pemandu arah untuk menunjukkan wad-wad pesakit untuk dilawati.

Pada jam 1.30 petang, para peserta telah berkumpul semula di hadapan Hospital Sultanah Aminah untuk mendengar ucapan daripada setiap wakil kampus. Dimulakan dengan ucapan daripada wakil kampus UTHM iaitu saudara Hazufi, diikuti pula wakil daripada Politeknik JB, seterusnya ucapan daripada muslimat yang diwakili oleh saudari Anis Afidah binti Mohd. Azli. Ucapan terakhir telah diberikan oleh saudara Mohd. Amin Bin Hamami selaku wakil daripada GAMIS Johor.

Program ziarah dan dakwah ini disudahi dengan bacaan doa daripada Mohd. Firdaus bin Ab Rahman dan sesi mengambil gambar. Tepat jam 2.05 petang, program telah berakhir dan para peserta pulang ke kampus bagi meneruskan semula agenda dakwah di tempat masing-masing. Semoga perkara yang sedikit ini besar nilai ganjarannya di sisi Allah Ta’ala dan juga menjadi salah satu wadah untuk masyarakat menerima Islam. Amiin.

Laporan Oleh:

SITI NAZIRAH BINTI BUTAI
TAHUN 2 SAINS FIZIK KESIHATAN
UNIVERSITI TEKNOLOGI MALAYSIA, SKUDAI JB

No Response to "Program Ziarah dan Dakwah Platform Terbaik untuk Mendekati Masyarakat"