Wednesday, June 2, 2010

Presiden PMIUTM : Qunut Nazilah dan Solat Hajat

Posted on 8:56 AM by GAMIS JOHOR




Kenyataan Media Edaran Segera

Skudai, 31 Mei 2010 – PMIUTM menyeru seluruh warga Malaysia bangkit menyatakan bantahan terhadap serangan rejim zionis Israel keatas kapal milik konvoi misi bantuan ke Palestin. Bantahan ini dilihat sebagai tekanan kepada pihak rejim zionis Israel yang nyata telah melanggar hak asasi manusia kerana menghalang sebarang bantuan berbentuk kemanusiaan kepada rakyat Palestin.

Menurut laporan daripada Malaysiakini, setakat ini mangsa yang terkorban akibat serangan itu adalah seramai 16 orang manakala puluhan yang lain mengalami kecederaan.

Mengulas lanjut mengenai serangan ini, Presiden PMIUTM menyeru warga UTM secara umumnya dan warga PMIUTM khususnya untuk melakukan Solat Hajat dan Qunut Nazilah agar konvoi bantuan kepada rakyat Palestin ini dapat menjalankan misi kemanusiaannya di Gaza.

“Negara Islam perlu bangkit untuk menyatakan bantahan mereka terhadap tindakan rejim zionis Israel ini. Malaysia yang diwar-warkan sebagai negara Islam oleh pemimpinnya harus menyatakan pendirian dan tindakan terhadap rejim zionis Israel. Kita mahu Malaysia menghentikan segala bentuk perhubungan dengan rejim zionis Israel termasuklah dengan syarikat yang mempunyai kaitan dengan Israel iaitu Apco Worldwide”, ulas beliau lagi.

Pihak rejim zionis Israel dalam pada itu enggan mengulas lanjut terhadap serangan terhadap kapal tersebut dan kapal tersebut telah pun terputus hubungan dengan penganjur misi bantuan kemanusiaan.

Kapal yang membawa seramai 700 orang sukarelawan itu telah disekat oleh pihak rejim zionis Israel beberapa hari lalu dalam misi menghantar 10,000 tan bekalan banggunan dan yang lain ke Gaza, di mana keadaan di situ lumpuh akibat sekatan Israel sejak 2007.

No Response to "Presiden PMIUTM : Qunut Nazilah dan Solat Hajat"