Tuesday, March 17, 2009

Hari Kanak-kanak Sedunia sempena Maulidur Rasul 1430 H

Bersempena dengan sambutan Maulidur Rasul 1430H, Persatuan Ulama Malaysia (PUM) dengan kerjasama GAMIS Johor telah menganjurkan Hari Kanak-kanak Sedunia (HKS) yang telah berlangsung pada 9 Mac 2009 bersamaan 12 Rabiul Awwal 1430 H. Program ini diadakan di Masjid Jamek Ar-Rahman Taman Dahlia, Tampoi. Sempena Maulidur Rasul tahun ini, PUM mensasarkan kepada golongan anak-anak yatim, fakir miskin dan saudara kita.


Program bermula kira-kira pukul 9.30 pagi. Beberapa aktiviti telah diadakan seperti pertandingan mewarna, melukis dan ujian minda. Aktiviti-aktiviti ini dibahagikan mengikut kategori sekolah menengah dan sekolah rendah. Perjalanan program dikendalikan oleh para fasilitator yang merupakan mahasiswa dan mahasiswi Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai. Kemeriahan dapat dirasai sepanjang program berlangsung dengan telatah dan aksi kanak-kanak peserta program tersebut.


Program berakhir kira-kira pukul 1.30 tengah hari dengan upacara penyampaian hadiah kepada para pemenang dan ucapan daripada penganjur. Di akhir program, semua yang terlibat bersama-sama menikmati hidangan yang disediakan. Tergambar kegembiraan di wajah anak-anak yang menyertai program ini meskipun dalam keadaan kekurangan. Buat para fasilitator yang terlibat, pengalaman mendekati golongan anak-anak yatim ini merupakan satu pengalaman yang cukup berharga dalam rangka menyebarkan dakwah kepada masyarakat tanpa mengira pangkat mahupun usia.

Tuesday, March 10, 2009

Sekitar Himpunan Mansuh PPSMI


7 Mac 2009, Malaysia sekali lagi digegarkan dengan himpunan 100 000 rakyat yang terdiri daripada kanak-kanak, mahasiswa, golongan muda dan tua, bahkan sasterawan negara juga turut turun kelapangan dalam menunjukkan rasa bantahan terhadap pelaksanaan PPSMI di sekolah-sekolah.

Himpunan yang dijalankan bukan atas dasar politik ini, jelas menunjukkan bahawa rakyat tidak bersetuju dengan tindakan kerajaan yang seolah-olah meminggirkan Bahasa ibunda sehingga menyebabkan kemerosotan prestasi pelajar-pelajar sekolah dalam subjek Matematik dan juga Sains. Kemerosotan ini jelas terbukti apabila Kementerian Pelajaran Malaysia gagal dalam menunjukkan statistik keputusan sekolah seluruh negara secara terperinci dan terbuka.

Namun, walaupun himpunan ini bukan atas dasar politik, banyak di antara slogan-slogan yang dilaungkan peserta himpunan berbaur politik. Hancur Umno!...Hancur BN..!..merupakan slogan yang dilaungkan oleh seorang pak cik di sana. Jelas laungan tersebut menunjukkan kebencian pak cik tersebut terhadap parti tersebut. Mengapa? Apakah perkaitan mereka dengan ppsmi ini? Namun saya pasti puak-puak inilah yang melaksanakan dasar yang bodoh ini.

Himpunan yang bermula pada pukul 2.00 petang di Masjid Negara, Pasaraya Sogo dan juga Pasar Seni diiringi gerimis yang seolah-olah merestui perjuangan rakyat dalam mendaulatkan bahasa ibunda di tanah air tercinta. Setelah team dari Sogo dan juga Pasar Seni bertembung dengan satu lagi team di Masjid Negara, maka bermulalah perarakan raksasa 100 000 ribu rakyat dari seluruh pelosok tanah air ke Istana Negara.

Namun dalam perhimpunan kali inilah saya merasakan pihak polis dan FRU mengeksploitasikan tanggung jawab mereka dengan penuh kejam dan biadab. Hembusan 'Water Cannon' dan juga tembakan gas pemedih mata bertalu-talu dilepaskan oleh pihak polis terhadap kanak-kanak, golongan emas, dan juga remaja yang menyertai perarakan itu.

Atas dasar menjaga keselamatan peserta perarakan, koordinator Ust Ridhuan Md Noor mengerahkan kumpulan yang tersekat untuk kembali ke Masjid Negara untuk mendapatkan perlindungan. Namun jangkaan ternyata meleset dimana pihak polis dan FRU terus menyerang bertalu-talu sehingga menyaksikan beberapa peserta rebah tersungkur menyembah bumi kerana tidak tahan dengan kesakitan akibat gas beracun yang dilepaskan FRU.

Tidak cukup dengan itu, peserta yang kembali ke masjid negara turut diserang dengan gas beracun dan hembusan cecair kimia 'water cannon' sehingga menyaksikan rumah Allah itu diserang barua umno dan BN dengan rakus. Beberapa cermin masjid negara telah pecah dirempuh peluru-peluru gas beracun sehingga memaksa mereka yang berada di dalam masjid tersebut berkurung ke dalam ruang tengah masjid yang dilitupi pintu kaca.


Video ini menyaksikan FRU melepaskan hembusan 'water cannon' ke arah Masjid Negara dimana peserta himpunan berlindung.


Video ini menyaksikan FRU menyerang Masjid Negara dengan 'water cannon' dan juga tembakan peluru gas pemedih mata.

Namun, memorendum bantahan terhadap pelaksanaan PPSMI dapat juga diserahkan ke Istana Negara oleh Dato A.Samad Said sendiri dan beberapa wakil perarakan Himpunan tersebut. Perhimpunan berakhir di masjid negara dengan ucapan daripada Ust Haji Hadi, YB Mahfodz Omar, Wakil dari front-front Mahasiswa dan juga bacaan doa penutup.


Ihsan dari: Suara Anak Johor

Saturday, March 7, 2009

Ayah Timbalan Presiden PMIUTM kembali ke Rahmatullah

07 Mac, Utm Skudai : Ayah kepada Saudara Mohamad Firdaus Bin Abd Rahman, Timbalan Presiden PMIUTM telah kembali ke rahmatullah pagi tadi . Sehubungan dengan itu, Lujnah Kebajikan PMIUTM hari ini telah melancarkan derma kilat diperingkat kampus untuk diberikan kepada Keluarga beliau.

Sesungguhnya, berita pagi tadi amat mengejutkan saudara Firdaus kerana baru beberapa hari yang lepas, beliau telah mengambil cuti selama seminggu untuk menemani ayahnya yang berada dalam keadaan tenat dan terlantar di Hospital kerana mengalami kerosakan pada buah pinggang. Setelah kesihatan Ayah beliau kelihatan kembali pulih , Beliau telah pulang semula ke kampus untuk meneruskan sesi pengajian di UTM. Namun Ajal dan Maut adalah ketentuan Ilahi yang tidak dapat dihalang.

Beliau yang kelihatan tenang menerima berita tersebut Redha dengan ketentuan yang telah di tetapkan oleh Allah. Beliau telah bergegas pulang ke Kuala Krai, Kelantan pagi ini dengan menaiki kereta kancil dengan ditemani beberapa orang sahabat yang lain.

Seluruh warga PMIUTM mengucapkan Takziah kepada Saudara Mohd Firdaus Bin Abd Rahman. Diharapkan pemergian ayah beliau dapat dihadapi dengan tenang dan sabar. Semoga Roh Ayah beliau tergolong bersama orang-orang yang soleh...Amin. Al-Fatihah.

Monday, March 2, 2009

Isu Bahasa: Apa pendirian Mahasiswa?

Sejarah lampau telah membuktikan bahawa semangat bahasa Kebangsaan telah menyebabkan orang Melayu suatu ketika dahulu telah bangkit menerjah penjajah. Pada ketika itu, Dato Onn Jaafar telah berjaya memobilisasikan orang Melayu untuk bangun menentang Malayan Union. Akan tetapi sejarah kini telah menunjukkan sebaliknya. Menteri Pelajaran Malaysia, Dato' Seri Hishamudin Tun Hussin sendiri telah menafikan hak bahasa kebangsaan di tanah air tercinta.

Perkara 152 yang menjamin kedudukan bahasa Melayu telah dicabuli. Akta Pelajaran, Akta Bahasa Kebangsaan dan Dasar Kebudayaan Kebangsaan pula di kotori.

Jika kerajaan Republik Chezh menghargai bahasanya dengan memberikan yuran pengajian percuma kepada mana-mana pelajar asing yang mengikuti pengajian perubatan dalam bahasa mereka.Bagaimana dengan kita? Ia bukan kebajikan untuk pelajar asing, tetapi ia adalah inisiatif bagi mengangkat darjat bahasa mereka sebagai bahasa ilmu.

Tidak ada teori mengatakan penggunaan bahasa Inggeris dalam pembelajaran mampu melahirkan individu yang cemerlang. Malah dunia membuktikan negara-negara yang maju dan membangun lahir daripada negara yang memartabatkan bahasa ibunda mereka dalam kehidupan seharian.Sebagai contoh Jepun,German,China dan Iran serta banyak lagi yang kini gah dengan kejayaan yang mereka kecapi.

Negara kita sendiri pernah membuktikannya. Apabila UKM di bina dengan menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar, kita mendapati ramai doktor, teknorat dan jurutera yang berjaya mendapatkan ijazah tanpa sebarang sebarang masalah.

Malah, tahap penguasaan bahasa Inggeris mereka juga baik. Hujah ini di buktikan dengan kejayaan angkasawan negara Dr Syekh Muzaffar Syah yang dilahirkan melalui pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Melayu. Tambahan pula, beliau juga tiada masalah untuk berbahasa Inggeris.

Selain itu,Dr Shaharir Md Zain pula telah membuat kajian dengan menggunakan bahasa melayu dan berjaya di terima di peringkat dunia. Beliau juga mahir menulis dan bertutur dalam bahasa Inggeris. Tetapi, beliau juga antara yang terkehadapan dalam hal membantah dasar PPSMI ini. Beliau juga mengatakan terdapat pelajar Barat yang telah pun mempelajari bahasa Melayu semata-mata mahu memahami tesis-tesis pelajar UKM yang ditulis di dalam bahasa Melayu.

Sebenarnya ramai lagi cendekiawan tanah air yang telah bersatu untuk menentang isu ini. Termasuklah sasterawan negara A.Samad Said dan Prof. Dr Awang Sariyan, salah seorang tokoh bahasa yang lantang serta tidak putus-putus menyuarakan bantahan mengenai pelaksanaan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris(PPSMI) .Beliau juga merupakan Penyandang Kursi Pengajian Melayu Malaysia China, Universiti Pengajian Asing Beijing dan merupakan bekas Presiden Persatuan Linguistik Malaysia(PLM).

Selaku mahasiswa, kita juga tidak harus ketinggalan dalam menyatakan pendirian kita untuk membantah penggunaan bahas Inggeris dalam pembelajaran matematik dan sains ini. Penyakit bahasa yang kian menular ini harus di segerakan untuk mengubatnya. Negara akan mengalami kehancuran pada masa akan datang sekirnya kita masih lagi berdegil untuk meneruskan dasar ini. Sejarah telah membuktikan segalanya.Tegakah kita melakar sejarah hitam untuk warisan anak bangsa kita.fikirkanlah. Kepada Tun Mahathir, tindakan anda salah walaupun ia adalah untuk niat yang betul.

Oleh;

Saudari Anis,

Ahli GAMIS JOHOR